malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Kasari mahasiswa tindakan tak matang - Ketua Pemuda Amanah
ADS

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Sany Hamzah menganggap kekasaran yang dilakukan beberapa pemimpin Umno terhadap beberapa pelajar Universiti Malaya (UM) semalam sebagai tindakan yang tidak matang.

Sedangkan katanya, rakyat mempunyai hak dan kebebasan untuk menyuarakan pandangan dalam Malaysia yang mengamalkan demokrasi selagi tidak melampaui batas.

“Tapi andai kata mahasiswa tersebut sekadar mengangkat plakad, ini sebagai satu tanda ‘tunjuk rasa’ daripada mahsiswa. Ini mungkin pendekatan mereka untuk melahirkan ketidakpuasan hati terhadap apa yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan terdahulu.

“Pimpinan Umno yang melakukan kekerasan semalam bukan baru setahun dua terlibat dalam politik. Telah lama.

"Sepatutnya mereka ini menjadi contoh, tauladan kepada mahaiswa tersebut, sebab adik-adik kita ini mungkin mewarisi kepimpinan negara ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

PH anggap kritikan membina

Jelasnya lagi, Pakatan Harapan (PH) sendiri terbuka menerima kritikan dan suara tidak puas hati daripada rakyat, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang membina.

“Kami Pakatan Harapan (PH) baru sepuluh bulan memerintah, walaupun ada lagi benda yang belum dapat kami tunaikan, kami menerima kritikan, nasihat, teguran tanpa mengenakan tindakan kepada mereka yang mengkritik kami.

“Bagi kami, kritikan dan teguran sebagai sesuatu yang membina,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, berlaku kekecohan antara sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) dengan beberapa penyokong Najib Razak ketika program santai bekas perdana menteri itu di Restoran Amjal.

Pelajar-pelajar tersebut berdiri di seberang jalan berhampiran tempat program dan memegang plakad yang antara lain tertera perkataan "Najib Tak Malu" dan "Pulangkan Duit Rakyat", selain karikatur menyindiri Najib berwajah badut.

Susulan itu, penyokong Najib menghampiri mereka dan mengoyakkan plakad yang dipegang pelajar dan seterusnya berlaku pergelutan, malah presiden Umany Wong Kan Ye turut dilihat dicekik dari belakang dan dikerumuni individu lain.

Beberapa pemimpin Umno yang kelihatan dalam rakaman video pemberita ketika kekecohan itu berlaku ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam dan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Mutalif Abdul Rahim

Sementara itu, insiden kekecohan tersebut turut mendapat perhatian Pemuda MCA yang mengutuk tindakan kekasaran terhadap pelajar terbabit.

Menurut jurucakapnya, Ryan Ho (gambar), sekiranya timbul ketidakpuasan hati terhadap peserta perhimpunan, ia sepatunya dibawa mengikut jalan undang-undang yang sepatutnya, bukan melalui keganasan.

Katanya lagi, keamanan dan kestabilan masyarakat di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

“Kami mahu nasihatkan semua rakyat, terutama ahli politik dan warganet, jangan sengaja memainkan sensitiviti antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, pengerusi biro undang-undang Pemuda MCA itu juga turut menggesa pelajar-pelajar yang terbabit dalam insiden semalam agar membuat laporan polis, selain menawarkan bantuan undang-undang kepada mereka.

“Biro undang-undang Pemuda MCA menawarkan bantuan khidmat undang-undang kepada pelajar terbabit jika mereka memerlukan.

“Kami akan terus mempertahankan semangat kedaulatan undang-undang, di mana setiap orang yang melakukan kesalahan mesti dipertanggungjawabkan,” katanya lagi.

Berdasarkan satu kenyataan terdahulu, Umany telah membuat laporan polis pada jam 2 pagi tadi tentang insiden tersebut.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai dalam kenyataan Facebook turut mengecam kekasaran yang dilakukan ketika kejadian tersebut dan meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang sewajarnya.

“Walaupun berbeza pandangan, walaupun berlainan ideologi, tidak perlu bertindak dengan kasar atau mengambil tindakan di luar batas undang-undang,” katanya. 

Lihat Komen