malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemegang AP syarikat tak aktif, firma kata rekod SSM silap
ADS

LAPORAN KHAS | Sebuah syarikat tidak aktif tersenarai antara 164 syarikat yang menerima permit import (AP) untuk mengimport kereta terpakai pada Januari lalu.

Hal ini meskipun kerajaan telah memberi jaminan bahawa semua penerima AP akan disaring terlebih dahulu oleh juruaudit bebas, bagi memastikan mereka mematuhi kriteria yang ditetapkan.

Ini termasuk mereka yang telah beroperasi selama dua tahun dalam perniagaan jual beli automotif tersebut.

Penyata kewangan yang difailkan oleh SH Warisan Cergas Sdn Bhd kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat memperolehi hasil sifar (tanpa untung) yang dicatatkan dari 2014 ke 2016.

Bagaimanapun, Pengarahnya Rashid Abas @ hamzah mendakwa terdapat kesilapan pemfailan dan dia telah mengarahkan setiausaha syarikatnya untuk membetulkan perkara tersebut.

"Saya bukan seorang akauntan, jadi saya serahkan perkara ini kepada setiausaha syarikat saya. Bagaimana saya boleh menjalankan perniagaan dengan hasil sifar (tanpa untung)?" Soalnya.

Penyata SSM pada minggu ini merekodkan syarikat itu tiada keuntungan dari tahun 2014 hingga 2016 dan terus mengalami kerugian antara sejumlah RM1,000 hingga RM1,500.

Permohonan AP terbuka itu dibuat dari 23 Mei 2016, hingga 21 Jun 2016.

Kenyataan Rashid itu juga bertentangan dengan pengesahan setiausaha syarikatnya kepada Malaysiakini bahawa rekod SSM mengenai SH Warisan Cergas boleh dipercayai.

Pemegang baru AP diberi masa tepati kriteria 

Rashid berkata dia sudah pun memiliki dan menjalankan perniagaan kereta terpakai ketika dia memohon AP tersebut, tetapi bilik pameran telah dirobohkan untuk membina lebuh raya.

Dia juga berkata mempunyai perniagaan lain yang berada di bawah satu syarikat usahasama dan kesemua hal ini telah diisytiharkan ketika proses permohonannya.

Pendapatan daripada kesemua perniagaannya itu digunakan bagi mencapai keperluan modal RM1 juta yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan untuk bayaran sebanyak RM10,000 bagi setiap permit.

Syarikat SH Warisan Cergas memiliki 50 permit.

"Saya ditemuduga selama tiga jam, dan kami perlu menunjukkan bagaimana kami boleh mengembangkan perniagaan kami dan memastikan supaya ia dapat bertahan.

"Ia bukan satu proses yang mudah dan kriteria-kriteria yang ketat ini bertujuan memastikan kami usahawan bumiputera dapat berdaya saing dan mampu bertahan apabila AP ini dihentikan," katanya.

Kerja-kerja di bilik pameran SH Warisan Cergas yang baru di Kuala Lumpur, menurut Rashid telah bermula sejurus selepas dia dimaklumkan permohonannya berjaya.

"Sepatutnya dah boleh siap pada Mei. MITI berikan pemegang permit selama enam bulan untuk mematuhi kriteria yang ditetapkan.

"Agak munasabah memandangkan kami perlu menunggu sehingga permohonan tersebut diluluskan untuk membuat sebarang keputusan perniagaan," katanya.

Malaysiakini cuba menghubungi MITI untuk mendapatkan pengesahan dan sedang menunggu maklum balas daripada kementerian tersebut.

Kebanyakan pemegang AP miliki perniagaan jual beli kenderaan 

Sebahagian besar syarikat dalam senarai AP sekurang-kurangnya wujud dalam talian, yang menunjukkan penglibatan mereka dalam jual beli dan perkhidmatan kenderaan.

Daripada 164 syarikat yang menerima AP tersebut, 133 daripadanya merupakan ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).

Untuk menjadi anggota Pekema, perniagaan individu tersebut mestilah aktif dalam aktiviti jual beli dan mempunyai bilik pameran kenderaan.

Minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Darell Leiking menegaskan bahawa semua syarikat yang dianugerahkan AP telah mematuhi kriteria yang ditetapkan dan diteliti pengauditan bebas.

Pentadbiran BN terdahulu merancang untuk memansuhkan sistem AP pada 2015, tetapi tertangguh atas tekanan daripada pemegang taruh.

Permohonan tersebut dibuka semula pada 2016, dan kerajaan mengenakan kriteria yang ketat untuk menghentikan penyalahgunaannya. Satu senarai pemohon disiarkan di dalam laman web MITI pada Januari 2019.

Bagi melayakkan menerima AP, syarikat mestilah merupakan entiti Sendirian Berhad (Sdn Bhd) dengan pemilikan 100 peratus milik penuh bumiputera.

Mereka juga perlu sekurang-kurangnya mempunyai dua tahun pengalaman dalam perniagaan automobil dan mestilah sudah beroperasi, dengan pejabat dan bilik pameran yang sesuai.

Selain itu, mereka mesti menunjukkan keupayaan pengurusan dan kewangan untuk mengimport, mengedar dan menjual kereta yang dibawa masuk menggunakan AP itu dan mematuhi beberapa lagi kriteria lain.

Leiking juga menggesa supaya orang ramai melaporkan sekiranya terdapat penyalahgunaan AP, termasuk amalan 'ali baba' seperti dahulu di mana pemegang permit menjual AP miliknya kepada pembida yang tertinggi.

Ini berikutan dakwaan dari blog automotif yang melaporkan bahawa pemegang AP baru mendekati pemilik syarikat jual beli kereta untuk menjual permit mereka.

'AP laku sekurang-kurangnya pada RM40,000' 

Pada 2005, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merupakan individu yang lantang bersuara mengenai AP mengatakan ia diberikan kepada mereka yang mempunyai pertalian politik.

Selanjutnya, Dr Mahathir berkata AP tidak digunakan untuk mengimport kereta, tetapi untuk menjana wang dengan cara mudah melalui penjualan permit tersebut kepada pemilik jual beli kereta yang sah.

Beliau juga berkata lambakan kereta import terpakai merupakan ancaman kepada kereta nasional, Proton.

Kritikan Mahathir itu menyebabkan perselisihan antara beliau dan menteri Miti ketika itu, Rafidah Aziz.

Rafidah membalas kritikan itu dengan mendedahkan senarai pemegang AP yang turut menamakan Mokhzani, anak kepada Mahathir.

Rafidah turut mempertahankan amalan AP itu sebagai cara untuk memecahkan monopoli di kalangan etnik Cina dalam perniagaan jual beli kereta.

Mahathir berkata Mokhzani tidak menyalahgunakan sistem tersebut tetapi secara sah mengimport dan menjual kenderaan mewah.

Mokhzani mempunyai hak eksklusif untuk mengimport kereta Porsche, tetapi menyerahkannya kepada syarikat berkaitan kerajaan Sime Darby pada 2010 untuk "tidak terlibat urusan AP dan perniagaan import kereta."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Nazri Abdul Aziz menganggarkan AP boleh dijual kepada pemilik syarikat jual beli kereta sekitar RM40,000 hingga RM50,000.

Pengkritik AP berpendapat sistem ini meningkatkan harga kereta terpakai import dengan peniaga kereta perlu menambah kos membeli AP daripada pemegang permit sebelum dijual ke pasaran.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming berlata kenderaan yang diimport menggunakan AP cuma sekitar 10,000 unit sahaja, jumlah yang terlalu kecil untuk menggugat pasaran kereta negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen