malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis rampas 2 tan dadah bernilai RM103.2j
Diterbitkan:  Mar 22, 2019 1:58 PM
Dikemaskini: 7:18 AM
ADS

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama dua lagi agensi penguatkuasaan merampas 2.06 tan dadah disyaki syabu bernilai RM103.2 juta, hasil penahanan enam anggota sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa di Ulu Tiram, di Johor Bahru, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Mohmad Salleh berkata rampasan terbesar dalam sejarah polis itu adalah berikutan tiga serbuan yang dijalankan, antara 7.30 hingga 10 pagi.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Taman Desa Cemerlang yang menyaksikan seramai tiga lelaki warga tempatan berusia antara 35 dan 48 tahun ditahan bersama 2.06 tan (2,060kg) dadah disyaki syabu.

“Syabu itu yang disimpan dalam kontena dibungkus menggunakan bungkusan teh cina Guanyinwang bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Mohmad berkata serbuan kedua dan ketiga yang dijalankan di Taman Pelangi dan Taman Desa Cemerlang pula berjaya memberkas tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 25 dan 49 tahun.

Dapat tampung 10 juta penagih

Dalam kedua-dua serbuan tersebut, tiada rampasan dibuat namun daripada semua tangkapan, polis telah menyita tujuh jenis kenderaan, wang tunai, barang kemas dan jam tangan bernilai RM489,000, kata beliau.

Ketujuh-tujuh kenderaan itu ialah Lexus, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Cefiro, Nissan Navara, Ford Ranger dan Proton Inspira.

Katanya, kejayaan yang dicatatkan ini adalah hasil risikan bersama pihak polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selama dua minggu.

“Kami percaya sindiket baru sahaja bergiat sejak dua minggu kebelakangan ini dengan menjadikan Malaysia sebagai transit untuk membawa masuk dadah itu dari negara ‘Golden Triangle’ (Thailand, Myanmar, Kemboja) melalui jalan laut.

“Kemudian, ia (dadah) akan dibungkus di makmal mini di sini sebelum diedarkan kepada pasaran tempatan dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand,” katanya.

Menurut beliau, dadah yang dirampas boleh menampung seramai 10.3 juta penagih.

Mohmad berkata kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah namun negatif pengambilan dadah. Mereka direman selama tujuh hari sehingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

Lihat Komen