malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Forum: Media perlu bantu tangani sentimen kebencian kaum
ADS

Bagaimana media boleh menjadi lebih bertanggungjawab apabila melaporkan isu-isu berbaur perkauman? 

Itulah persoalan yang dibincangkan para panelis dan hadirin pada sebuah forum membincangkan peranan media dalam menangani sentimen kebencian.

CEO Institute for Developmental Studies Sabah (IDS) Johan Arriffin Samad berkata media tidak wajar membenarkan sentimen sebegitu mendorong agenda pemberitaannya.

Beliau memberi contoh perhatian yang diberikan terhadap isu "lampu salib" yang dilihat di bangunan di Pulau Pinang pada awal tahun ini.

"Akhbar melaporkan semua hal karut ini," katanya.

Johan berkata media perlu mengalihkan keutamaan mereka dengan melaporkan lebih banyak "berita positif."

"Di Denmark mereka menubuhkan stesen televisyen dengan nama 'berita positif' dan di Belanda juga ada satu stesen yang sama.

"Mereka melaporkan hal-hal yang baik yang dilakukan masyarakat, sesuatu yang patut kita cermati.

"Kalau tidak, apabila kami baca berita pagi, baca WhatsApp sebelum sarapan, semua yang kami baca adalah bagaimana MP Umno Nazri Aziz mengecam ini, atau MCA memberi maklum balasnya dan mufti kami berkata demikian," katanya.

Sementara itu, panelis Pengarah Eksekutif Bersih Yap Swee Seng menggesa media memperbetulkan penyebaran maklumat salah dan membina naratif kaum yang inklusif.

"Ini bukan sekadar maklumat yang tepat tetapi naratif yang betul untuk negara [...] Apa arah tuju dan wawasan bersama rakyat pelbagai kaum di dalam negara? Naratif dan wawasan yang perlu dibina.

"[...] Saya fikir tanggungjawab ini bukan pada kerajaan, ia juga terletak di atas bahu media dan juga masyarakat sivil," katanya kepada hadirin.

'Laporan Malaysiakini burukkan lagi keadaan'

Forum anjuran NGO Pusat Komas ini diadakan bersempena majlis pelancaran Laporan NGO Malaysia Mengenai Diskriminasi Kaum Malaysia 2018.

Laporan NGO ini dan perbincangan pada forum tersebut mengambil maklum peningkatan retorik perkauman oleh parti-parti pembangkang dan menggesa pentadbiran PH menggandakan usaha bagi menangani naratif tersebut.

Sementara itu, Profesor Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Denison Jayasooria yang hadir di majlis itu turut mengajukan soalan kepada panelis, bertanya sekiranya liputan media berkaitan isu-isu berbaur perkauman, khususnya laporan berita Malaysiakini telah memburukkan lagi politik perkauman di Malaysia.

"Saya selalu berfikir kenapa Malaysiakini memberikan terlalu banyak liputan terhadap semua berita buruk ini.

"Sebenarnya, (Malaysiakini) yang memaparkan tajuk berita, bukan The Star atau News Straits Times yang membuat laporan sebegini tetapi liputan dan media sosial, khususnya (daripada) Malaysiakini.

"Saya tahu mereka mahu konsisten tetapi mereka sebenarnya mempromosikan semua isu-isu ini. 

"Kami perlu meneliti secara serius sama ada mereka terjebak dalam populisme atau jika mereka sekadar mendedahkannya," katanya yang juga setiausaha agung Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen