malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
FRU cuma diarah 'standby' - Saksi
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 8:50 PM
Dikemaskini: 12:50 PM
ADS

INKUES | Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini diberitahu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak menyuraikan perusuh dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November lepas kerana pasukan itu mendapat arahan untuk bersiap sedia sahaja.

Pegawai Penjaga Unit 1A FRU, ASP Shuhaimi Yaakub berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP), FRU sebagai pasukan simpanan bantuan, mengambil tindakan melalui arahan pegawai polis yang ditetapkan.

"Kami hanya menerima arahan untuk 'standby' (bersiap sedia) tanpa sebarang arahan susulan lain," kata saksi ke-21 itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah selaku pegawai pengendali pada prosiding inkues bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Kassim.

Hamdan: Mengapa FRU tidak ambil tindakan terhadap orang ramai yang berada di luar kawalan?

Shuhaimi: Dalam SOP dan garis panduan 'public order manual' sebarang tindakan yang perlu diambil untuk menangani rusuhan adalah perlu melaporkan kepada Ketua Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Saya bersama Pegawai Pemerintah Unit 1, Superintendan Jefri Muhammad cuba menghubungi OCPD namun gagal. Jefri kemudian menghubungi Timbalan Ketua Polis IPD Subang Jaya dan arahan yang diterima hanya 'standby'.

Hamdan: Apakah yang terkandung dalam public order manual itu?

Shuhaimi: Dalam public order manual perenggan ke-19, bahagian ke-25, menjelaskan bahawa tugas dan tindakan FRU sebagai pasukan simpanan bantuan untuk mengambil tindakan melalui arahan pegawai polis yang ditetapkan. Jika bantuan diberi kepada IPD, kami perlu merujuk sama ada ketua polis daerah atau pegawai kanan polis yang diberi kuasa oleh ketua polis daerah.

Boleh kawal 1,000 orang

Selain itu, ketika ditanya Hamdan mengenai kekuatan pasukannya untuk mengawal perusuh, Shuhaimi berkata berdasarkan pengalaman, pasukan itu boleh mengawal 1,000 orang tetapi pada masa itu tidak berada dalam kekuatan sepenuhnya.

"Sepatutnya, setiap troop (pasukan) memerlukan tiga pegawai dan 85 anggota. Pada malam kejadian hanya ada dua troop dengan lima pegawai dan 113 anggota.

Pada dasarnya sekiranya tidak membabitkan senjata daripada perusuh, kami boleh mengambil tindakan dengan kekuatan itu," katanya.

Saksi itu berkata, beliau dan dua pasukan tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.40 malam 26 November 2018 dengan masing-masing tujuh kenderaan iaitu ‘command vehicle’, tiga lori , satu lori logistik, satu Land Rover dan meriam air.

Bagaimanapun katanya, kesemua kenderaan terbabit tersekat akibat kesesakan lalu lintas di atas jejambat menuju ke kuil.

"Jarak tempat saya berdiri di atas jejambat dengan kuil hanyalah 100 meter. Pada penglihatan saya lebih kurang 5,000 orang berada di kawasan itu dalam keadaan bising dengan jeritan dan sorakan.

Saya juga nampak dua kenderaan terbakar sebelum dua kenderaan bomba tiba untuk memadam kebakaran itu," katanya.

Ketika ditanya peguam Yahaya Othman yang mewakili keluarga mangsa, adakah beliau bersetuju bahawa FRU tersilap langkah sehingga satu nyawa melayang, saksi itu menjawab "tidak setuju".

Yahaya: Bila kamu berjaya menghubungi OCPD semula?

Shuhaimi: Tak pasti, tetapi selepas kejadian semua selesai, kira-kira pukul 3 pagi, selepas orang awam beredar saya nampak OCPD di lokasi kejadian.

Saksi ke-22, Hardeep Singh, 29, pula berkata beliau yang berada berhampiran lokasi kejadian sempat merakamkan empat video melalui telefon bimbitnya termasuk sebuah video berkaitan kenderaan terbakar, tiga lagi video jentera FRT dan van EMRS berundur.

Pengurus syarikat keselamatan itu berkata beliau tidak nampak apa yang berlaku ke atas mangsa (Muhammad Adib) kerana beliau hanya memberi fokus kepada van EMRS dan jentera FRT yang ketika itu berundur.

"Saya tak dapat rekod banyak, sebab mereka (FRT, EMRS) beredar cepat," katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok dan dijangka bapa arwah Muhammad Adib akan memberi keterangan.

- Bernama

Lihat Komen