malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
DBKL dirombak selang tiga tahun - Menteri wilayah
ADS

PARLIMEN | Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dirombak selang setiap dua atau tiga tahun sekali, maklum Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Jelasnya, ini bagi mengelakkan hubungan yang terlalu rapat antara pemegang jawatan yang berkuasa meluluskan kontrak DBKL dengan pihak kontraktor.

"DBKL ini perkhidmatan berdekatan (close service). Bila dah lama memegang jawatan dah 'memperketatkan hubungan' dengan kontraktor. 

"Ini tidak boleh dibenarkan berterusan untuk tempoh lama. Mungkin dua atau tiga tahun kita kena lakukan rombakan," kata MP Shah Alam kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Menurutnya, rombakan jawatan tersebut melibatkan jawatan kakitangan bawahan kerana mereka lebih banyak berhubung dengan pihak seperti kontraktor, peniaga dan orang ramai.

Bagaimanapun, rombakan itu jelasnya lagi, tidak melibatkan jawatan tertinggi DBKL kerana kedudukan jawatan berkenaan yang terhad.

Menurut Khalid pada masa ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan sedang melakukan penstrukturan semula kerajaan tempatan itu.

"Di dalam DBKL juga, Datuk Bandar pun sedang melakukan penstrukturan semula. Pindahkan orang dari jabatan ini ke jabatan lain dan sebagainya.

"Kerana kita mendapati sebahagian pegawai-pegawai (memegang) di jawatannya dah bertahun-tahun. 

"Jadi, memang kita tak boleh benarkan ianya berterusan untuk tempoh yang lama," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil lebih daripada 10 pegawai DBKL untuk diambil keterangan berhubung siasatan kes penjualan tanah DBKL ketika era pentadbiran Tengku Adnan Tengku Mansor menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, SPRM menyiasat sebanyak 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.

Lihat Komen