malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rosmah akan fail permohonan gantung keputusan Mahkamah Tinggi
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 1:42 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Pihak pembelaan yang mewakili isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa meminta dan menerima rasuah berhubung projek tenaga solar, akan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah tersebut.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah berkata permohonan itu akan difailkan dalam masa terdekat.

“Kami mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ini (dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi).

“Kami dimaklumkan perkara ini pada Jumaat, 15 Mac. Namun demikian pada hari Isnin 18 Mac, pihak kami telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu. Kami juga akan failkan permohonan untuk menggantung keputusan tersebut,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad, di Kuala Lumpur, hari ini.

Akberdin berkata demikian semasa sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen bagi memaklumkan status terkini berhubung pemindahan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Rosmah, 67, yang memakai baju kurung dan selendang sedondon berwarna jingga hadir ditemani suaminya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Azman kemudian memindahkan kes itu Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah perintah kes ini dipindah ke Mahkamah Tinggi, bermula hari ini dan segala hal berkaitan hal ehwal jaminan juga dipindah ke Mahkamah Tinggi,” kata Azman.

Pada 15 Nov tahun lepas, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen