malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
K’jaan tempatkan polis di rumah ibadat di lokasi panas
ADS

Kerajaan akan hanya menempatkan pasukan keselamatan di lokasi-lokasi "panas" yang dijangka menjadi tumpuan susulan tragedi serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata situasi di negara ini masih terkawal, namun pemantauan tetap dilakukan oleh pihak polis.

"Kita lakukan bila ada keperluan, bukan semua rumah ibadat (dijaga pihak keselamatan), sebahagian besarnya tidak.

"Pihak polis dan pihak berkuasa keselamatan sentiasa memantau puak-puak pelampau dan ekstrimis," katanya katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke- 229 di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Jumaat lalu dunia dikejutkan dengan insiden dua buah masjid Christchurch, New Zealand diserang oleh seorang pengganas kelahiran Australia.

Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya 41 jemaah terbunuh di Masjid Al Noor di Deans Avenue, tengah Christchurch manakala tujuh lagi terkorban di Masjid Linwood di pinggir bandar. Seorang lagi mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Christchurch.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga warga Malaysia cedera, manakala seorang lagi masih hilang.

Semalam, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengarahkan anggota polis untuk memantau kuil dan gereja di negara ini susulan insiden tembakan ke atas jemaah di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu.

Beliau berkata arahan serta merta dikeluarkan untuk tindakan oleh ketua polis negeri dan ketua polis daerah.

“Arahan dikeluarkan serta merta selepas insiden tembakan itu berlaku, saya sudah arahkan Ketua Polis Negeri dan Daerah serta pegawai dan anggota terbabit berada dalam siap siaga," kata Mohamad Fuzi.

Sementara itu Muhyiddin berkata, insiden yang menjadi tragedi hitam buat New Zealand itu harus dijadikan pengajaran buat rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus saling hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan sesekali menghina mana-mana agama.

"Ia satu pengajaran bagi kita... kita jangan perlekehkan mana-mana agama. Jadi, kita tidak mahu perkara yang berlaku di tempat lain berlaku di negara kita.

"Rakyat perlu hormat menghormati antara satu sama lain, jangan pandang rendah pada agama lain.

Lihat Komen