malaysiakini logo
story-image
ADS

PARLIMEN l Kerajaan akan menanggung hutang RM130 bilion jika projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan hutang berkenaan mesti dilunaskan dalam tempoh 30 tahun, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ini, katanya, membabitkan pinjaman berjumlah RM60 bilion dan kadar faedah tertentu yang perlu dibayar balik.

"Jika kita mahu tamatkan projek ini, kita terpaksa membayar pampasan berjumlah berbilion-bilion.

"Tetapi jika kita teruskan, hutang kita pula akan berbilion-bilion dan ini akan mengambil masa berdekad-dekad lamanya untuk membayar balik, dan akhirnya, pinjaman dengan bunga akan melonjak kepada RM130 bilion," kata Mahathir Dewan Rakyat, hari ini.

Mahathir kemudian menjelaskan bagaimana beliau mendapat angka tersebut ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen.

“Jika diteruskan, kita perlu meminjam sehingga RM60 bilion. Bayaran semula pinjaman itu disertakan faedah selama 30 tahun.

“Dalam tempoh 30 tahun, jumlah pinjaman dicampur faedah akan mencecah lebih RM100 bilion dan ada yang menganggarkan ia sekitar RM130 bilion, menyebabkan kerajaan tidak mampu menanggung kos projek ini,” katanya.

ECRL adalah projek era pentadbiran BN, yang menurut bekas perdana menteri Najib Razak akan menelan kos RM55 bilion dan dibiayai dengan pinjaman dari China.

Kerajaan Pakatan Harapan sedang merundingkan semula projek itu dengan Beijing.

Diminta mengulas perincian semula skala projek itu jika diteruskan, Dr Mahathir berkata, kerajaan mungkin menangguhkan perkara tertentu seperti pembinaan landasan berkembar.

“Kita teliti semula projek itu dan melihat pada beberapa perkara yang tidak diperlukan, contohnya mungkin tidak perlu laksanakan trek berkembar.

“Unjuran awal kargo dan penumpang tidak begitu besar jumlahnya, maka kita boleh tangguhkan beberapa bahagian daripada projek atau perancangan sehingga ia diperlukan,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen