malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Cuaca panas akan berterusan sehingga April
ADS

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) Dr A Xavier Jayakumar memberitahu fenomena cuaca panas yang melanda negara akibat pembentukan El Nino dijangka akan berterusan sehingga pertengahan April ini.

Mengulas keadaan jerebu di beberapa kawasan, Xavier berkata kebakaran hutan akibat cuaca panas mengakibatkan jerebu khususnya di Pahang, Perak dan juga Selangor.

"Jerebu sekarang, cuaca panas dan El Nino ini akan berlanjutan sampai pertengahan April ini. Kita (kementerian) sudah menghubungi JPSM (Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia) untuk meneliti situasi kebakaran di Pahang.

"Mengambil kira keadaan, kementerian akan turun membantu kerajaan negeri untuk mengambil tindakan ke atas kebakaran ini," katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Xavier lagi, beliau juga sudah mengarahkan JPSM agar membuat tanaman semula di 300 hektar hutan, di Perak.

Menurutnya, fenomena tiada hujan merupakan punca utama kebakaran hutan yang mengakibatkan jerebu di beberapa kawasan yang kini mencapai paras tidak sihat.

"Ia juga mengakibatkan cuaca panas. Maka, kita (kementerian) menasihat kepada agar orang ramai dengan penggunaan air dan sebagainya," jelas beliau sambil menambah bahawa ada juga kawasan kini menghadapi kekurangan air kerana tiada hujan.

"Terutamanya, di Kedah, kementerian sudah pun turun ke sana untuk bagi mendapatkan proses mendapatkan air bawah tanah untuk digunakan di kawasan-kawasan tertentu," ujarnya.

Katanya, KATS juga bersedia untuk membekalkan bekalan air kepada kawasan-kawasan yang kini menghadapi kekurangan air. 

 

Lihat Komen