malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keputusan taksiran ganti rugi untuk Zunar diputuskan 4 April ini
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM
ADS

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 4 April depan untuk keputusan taksiran ganti rugi yang akan diperoleh kartunis Zunar selepas perintah larangan mengedar dan menjual bukunya berjudul ‘Sapuman: Man of Steal’ yang dikeluarkan Menteri Dalam Negeri sebelum ini telah dibatalkan.

Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Zaid Malek, yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque dan Peguam Kanan Persekutuan Jamilah Jamil bertindak bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Zaid ketika ditemui pemberita berkata hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan bagi kedua-dua pihak untuk taksiran ganti rugi am dan ganti rugi khas yang akan diperoleh kartunis berkenaan.

"Jadi, kita tunggu 4 April ini untuk mengetahui berapa jumlah ganti rugi yang bakal diterima anak guam saya," katanya.

Pada 12 Feb 2018, Zunar memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Bagaimanapun, ketika pendengaran permohonan semakan kehakiman pada 9 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Jabatan Peguam Negara telah menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membatalkan perintah larangan terhadap buku berkenaan pada 2 Ogos tahun sama.

Surat itu menyatakan bahawa Dr Mahathir yang ketika itu merangkap Menteri Dalam Negeri telah memutuskan membatalkan perintah larangan bagi buku bertajuk ‘Sapuman: Man of Steal’, yang diwartakan perintah larangan itu pada 3 Okt 2017.

Mahkamah juga memutuskan supaya ganti rugi diberikan kepada kartunis berkenaan bermula dari tempoh larangan tersebut berkuat kuasa.

Zunar selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 2 Jan tahun lepas, antara lain untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Okt 2017 berhubung larangan terhadap buku tersebut dan memohon pengisytiharan bahawa perintah itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan serta bersifat ultra vires mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Zunar berkata beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 13 Sept 2015.

Kartunis itu mendakwa Menteri Dalam Negeri melalui Warta Kerajaan Persekutuan telah mewartakan satu perintah di bawah Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bahawa percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku itu adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia.

Zunar turut mendakwa warta berkenaan menyatakan alasan bahawa buku karyanya itu mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menjejaskan fikiran orang ramai.

- Bernama

Lihat Komen