malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Sasaran 2030 - dua pertiga banduan jalani pemulihan komuniti
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 12:57 PM
Dikemaskini: 4:57 AM
ADS

Kementerian Dalam Negeri menerusi Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan dua pertiga banduan menjalani pemulihan dalam komuniti menjelang 2030, kata menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, program pemulihan dalam komuniti akan diperkasa bagi membolehkan penghuni menyesuaikan diri lebih awal bersama masyarakat dan memudahkan mereka kembali berperanan menjadi insan berguna.

Program pemulihan di luar tembok seperti Sistem Parol dan Perintah Kehadiran Wajib hendaklah diperluaskan sebagai program alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan dalam penjara.

“Dengan jumlah kira-kira 39,000 banduan menerima manfaat program pemulihan di luar tembok penjara dan kadar residivis di bawah 0.5 peratus, program ini wajar diperluaskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 bertemakan ‘Reformasi Penjara Masyarakat Sejahtera’ di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerjasama pihak swasta menerusi ‘Corporate Smart Internship (CSI)’ yang dilaksanakan kepada Orang Di Parol (ODP) juga menunjukkan perkembangan positif.

“Ketika ini, 44 buah syarikat swasta di 12 negeri melibatkan 2,005 ODP telah mengikuti program CSI sejak pelaksanaannya pada 2016.

“Manakala program Reintegrasi Penghuni Industri yang dilaksanakan bersama sebuah syarikat swasta di Sungai Petani, Kedah melibatkan 35 Orang Diselia juga menunjukkan kejayaan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen