malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Belum mansuh, Akta Hasutan masih boleh diguna
ADS

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin menegaskan Akta Hasutan 1948 masih wujud dan boleh diguna pakai sehinggalah ia dibentangkan di Parlimen untuk dimansuhkan.

Bagaimanapun katanya, penggunaan akta berkenaan bergantung kepada keperluan dan kebijaksanaan pihak berkuasa dalam menangani sesuatu isu kritikal.

"Dari sudut undang-undang selagi belum dihapuskan akta (hasutan) masih ada. Selagi belum dibawa ke Parlimen untuk dihapuskan.

"Kita nak tentukan tidak ada pihak salah guna tetapi sekarang kita lihat masih ada individu keluarkan kenyataan yang sentuh perkara sensitif.

"Banyak mempersoal institusi raja dan agama kita tidak boleh dibiarkan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Penjara ke- 229 di Maktab Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.

Hadir sama,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Azis Jamman, Ketua Setiausaha Kementerian dalam Negeri (KDN), Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Penjara, Zulkifli Omar.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berhubung larang penggunaan akta berkenaan, Muhyiddin berkata ia harus dihormati, namun terpulang kepada budi bicara pihak berkuasa.

Katanya, banyak kenyataan-kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama, Raja dan perkauman adalah sesuatu yang dipandang serius dengan tegas melalui akta yang sedia ada.

"Kita serah kepada budi bicara pihak polis (untuk menggunakan akta hasutan)," katanya.

Semalam, Liew ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan penahanan terhadap mana-mana individu di negara ini.

Langkah itu selari dengan pendirian kerajaan untuk mengkaji keperluan bagi meminda atau memansuhkan akta berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Secara dasarnya, kerajaan dalam proses memansuhkan Akta Hasutan 1948, justeru kerajaan memutuskan supaya polis tidak menggunakan perundangan ini terhadap mana-mana individu.

“Kerajaan mengambil pendirian akta itu akan dikaji, diubah atau dimansuhkan, namun kerja-kerja ke arah usaha reformasi perundangan berkenaan masih giat dijalankan.

“Ia (pindaan berkaitan atau pemansuhan) akan dibuat dalam jangka terdekat,” kata Liew.

Sementara itu Muhyiddin berkata, kajian bagi pemansuhan akta berkenaan kini sudah di peringkat akhir sebelum ia dibawa ke Parlimen.

"Contoh orang hina saya, ada yang benci menteri KDN. Mengatalah, ada orang suka ada orang tak suka.

“Bagi kita itu tak dianggap sebagai hina tetapi apabila cerca raja, atau institusi penting negara kita anggap berat," katanya.

Lihat Komen