malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Belajar bahasa Melayulah, tembak ada banyak makna'
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 12:39 PM
Dikemaskini: 4:41 AM
ADS

Bekas pemimpin Pemuda Umno Razlan Rafii hari ini mempertahankan dirinya selepas terpalit kontroversi tulisan di Twitter yang mahu “tembak puak-puak DAP”.

Mendakwa pemimpin DAP tidak pandai bahasa Melayu, Razlan berkata perkataan “tembak” mempunyai banyak maksud.

Mengikut konteks, kata Razlan, ia boleh bermaksud “balun”, “kritik” atau “sembur”.

“Jadi sebab itulah saya cakap pemimpin DAP ini kena banyak belajar Bahasa Malaysia.

“Ada banyak pemimpin DAP yang tak pantai cakap Bahasa Malaysia pun,” katanya kepada pemberita selepas polis merakamkan kenyataannya di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

 Razlan disiasat bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Seksyen 505(C) adalah berkaitan dengan kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dengan niat menyebabkan ketakutan, atau mengapi-apikan mana-mana golongan atau kaum.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Seksyen 233 CMA pula berkaitan dengan penyalahgunaan talian Internet yang membawa hukuman sehingga RM50,000 atau hukuman penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Razlan pada Jumaat lalu mengulas ciapan Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi yang mendakwa pemimpin DAP semakin kurang ajar dan melampau apabila mengaitkan insiden serangan terhadap masjid di New Zealand dengan penyatuan PAS-Umno.

Lihat Komen