malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa beliau amat menyayangi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airline Berhad (MAS) tetapi kerajaan kini tidak mampu untuk menyelamatkan syarikat itu.

Justeru, katanya, kerajaan sedang mengkaji sama ada perlu menjual atau tidak syarikat penerbangan kebangsaan itu.

"Saya sayang MAS (Malaysian Airline System). Saya nak MAS ini dijadikan satu airline nasional. Tetapi, ternampak seolah-olah kita tak mampu,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat ketika menjawab mengenai perkembangan terkini cadangan penjualan MAS.

Sambil mengakui terdapat pihak-pihak tertentu yang ingin membeli MAS, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak menolak tawaran berkenaan tetapi masih mengkaji sama ada mahu menjualnya ataupun tidak.

“Saya nampak bahawa pengurusan setakat ini, walaupun kita memilih pengurus dari luar, masih lagi MAS mengalami kerugian.

“Jadi satu daripada caranya adalah dengan menjual,” katanya sambil menambah pihak yang berminat membeli MAS terdiri daripada syarikat di dalam dan juga luar negeri.

Beliau juga tidak menolak cadangan daripada bekas pengurusan MAS yang mahu syarikat penerbangan tersebut dikekalkan di bawah kerajaan.

"Itu pun ada. Kita akan timbang sama ada kita nak tukar pengurusan ataupun kita memperkecilkan atau memperbesarkan pengurusan (yang sedia ada),” katanya.

Dr Mahthir berkata, salah satu punca kerugian MAS adalah disebabkan banyak pesawat yang dimiliki MAS tidak digunakan sepenuhnya.

Semalam, Penaung Persatuan Pekerja Bersara Malaysia Airline Berhad (MASRA), Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kerajaan digesa mempertimbangkan usaha sama dengan pihak swasta dalam menyelamatkan MAS.

Katanya, dalam keadaan kritikal MAS kini, kerajaan perlu mengeluarkan kertas cadangan yang mengandungi cara-cara untuk menyelamatkan syarikat itu secepat mungkin dan bukan mengambil keputusan untuk menutupnya.

MAS dilaporkan mengalami kerugian sejak diswastakan pada tahun 2014.

Meskipun Khazanah Nasional menyuntik RM6 bilion dalam syarikat itu tetapi usaha memulihkannya terus tidak berjaya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menyindir pihak yang curi duit negara di bawah pentadbiran BN sebelum ini yang menurut sehingga menyebabkan penuntut-penuntut kini kekurangan duit untuk berbelanja.

"Kita akan cuba. Kalau kita ada duit bagi 'full meal' kepada semua orang. Tetapi, duit kita telah dicuri.

"Orang yang curi ini sekarang ini jadi 'boss' mereka. Duit yang curi ini berada di mana saya tak tahu.

“Bawalah balik duit ini bagi membantu penuntut-penuntut ini," katanya ketika mengulas isu mahasiswa di sebuah IPTA yang terpaksa “”ikat perut” kerana kekurangan belanja.

Lihat Komen