malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mufti, ulama 'saring' makyung Kelantan
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM
ADS

DUN KELANTAN | Kerajaan negeri tiada masalah untuk menarik balik pengharaman kesenian makyung sekiranya persembahan dilakukan dengan menepati syariah.

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan Md Anizam Abdul Rahman, berkata kerajaan negeri sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang turut disertai mufti negeri dan ulama untuk menilai persembahan itu.

"Apa pun kita ada penilaian kepada Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan ada panelnya.

"Panel terdiri daripada mufti, ketua ulama dan sebagainya untuk menilai (makyung) yang patuh syariah.

"Insya-Allah jika pertunjukkan itu patuh syariah kita tidak ada halangan, tetapi jika ia bertentangan syariah, itulah (melarang) pendirian kita," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada sesi soal jawab persidangan penggal kedua kali ke-14 di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Mohd Syahbuddin bertanya tentang pendirian kerajaan Kelantan berhubung gesaan seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu agar pengharaman persembahan makyung di negeri itu ditarik balik.

Turut didesak agar dibenarkan ialah persembahan wayang kulit dan seni warisan lain yang ada dalam budaya Melayu demi kelangsungan dan pemuliharaan.

Karima Bennounce - yang merupakan Pelapor Khas PBB - dipetik sebagai berkata jika penggiat meninggal dunia, seni itu juga akan ‘mati’ bersama-sama mereka.

Justeru katanya rakyat Malaysia, khususnya anak Kelantan, akan kehilangan sebahagian daripada budaya mereka. 

Lihat Komen