malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ECRL diteruskan pada skala sesuai, kata Dr Mahathir
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 11:28 AM
Dikemaskini: 8:58 AM
ADS

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan pada skala yang sesuai apabila rundingan semula projek itu dengan China dimuktamadkan.

Beliau memberi bayangan proses rundingan itu akan mengambil sedikit masa lagi.

"Kerajaan telah melantik Tun Daim Zainuddin sebagai Utusan Khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula ECRL dengan China supaya penyelesaian ‘win-win’ dapat diperoleh. Hasil rundingan ini akan dimaklumkan apabila dimuktamadkan sedikit masa lagi.

"Jika rundingan semula ini berhasil, kerajaan yakin projek ECRL akan diteruskan pada skala yang sesuai dengan manfaat yang bakal dijana oleh rakyat dan menyelamatkan Malaysia daripada beban hutang yang tinggi," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini projek ECRL dan sama ada kerajaan akan meneruskan projek berkenaan.

 

Perdana menteri berkata kerja-kerja projek itu digantung pada 3 Julai tahun lepas kerana kerajaan terpaksa menilai dan meneliti semula projek berkenaan bagi memastikan Malaysia mendapat pulangan terbaik tanpa menjejaskan pembangunan negara.

Katanya walaupun projek itu dikatakan boleh menjadi pemangkin pembangunan di kawasan pantai timur termasuk menyumbang pertumbuhan 1.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negeri-negeri terlibat selain menyediakan infrastruktur pengangkutan berat untuk kargo yang boleh menarik pelabur, projek dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpai melalui prosedur biasa.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendapati kerajaan terdahulu tidak memanggil tender terbuka sebaliknya menganugerahkan kontrak kepada satu syarikat atas alasan kononnya ia “G-to-G arrangement” (persetujuan kerajaan dengan kerajaan).

"Kerajaan ini terikat dengan kedua-dua perjanjian kontrak EPCC (kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan) dan pinjaman daripada China yang menyebabkan negara berdepan hutang yang membebankan sekiranya dilaksanakan dan menghadapi implikasi kewangan yang besar sekiranya dibatalkan," katanya.

Kepada soalan Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jangkaan tuntutan ganti rugi sekiranya projek itu dibatalkan, Dr Mahathir berkata perkara tersebut sepatutnya ditanya oleh anggota pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum projek tersebut dilaksanakan.

"Saya kagum dengan kearifan pihak yang menyoal. Soalnya kenapa tidak disoal dahulu semasa perjanjian dibuat, kenapa tidak ditanya berapa kos konsultan, berapa kos tanah dan sebagainya dan saya yakin apabila disoal kepada pihak tertentu maka tentulah pihak tertentu itu akan batalkan projek ini, tetapi ini sudah terlambat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ismail mengenai sebab pelantikan Daim dan bukannya Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Dr Mahathir berpandangan Daim lebih berkelayakan dan berkebolehan untuk berunding dengan pihak China.

Pada sidang media di lobi Parlimen kemudian, Dr Mahathir berkata ada bahagian projek yang tidak perlu atau boleh ditangguhkan ke kemudian hari apabila ia diperlukan.

Perdana menteri juga bercakap tentang kos projek yang mahal.

“Jika kita teruskan, kita akan meminjam sehingga RM60 bilion dan untuk membayar balik, kita perlu bayar bersama faedah yang akan mengambil masa 30 tahun untuk kita lunaskan.

"Dalam tempoh 30 tahun itu, jumlah berserta faedah akan mencecah lebih RM100 (bilion) dan ada sesetengah orang menjangkakan sekitar RM130 bilion.

“Sebab itu kita tidak mampu laksanakan projek ini,” kata Dr Mahathir.

- Bernama

Lihat Komen