malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis tembak mati penjenayah dikehendaki di Nibong Tebal
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 11:21 AM
Dikemaskini: 3:24 AM
ADS

Seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung empat kes jenayah senjata api dan ugutan jenayah maut dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan keselamatan itu di sebuah ladang kelapa sawit, di Nibong Tebal awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata dalam kejadian 3.30 pagi itu, suspek berusia lewat 20-an terbabit disahkan mati di tempat kejadian.

“Lelaki ini mempunyai 17 rekod jenayah dan 11 rekod dadah sejak 2008 hingga November tahun lepas serta pernah dipenjarakan.

‘Dia pada awalnya dikesan pada pagi semalam di kawasan Bukit Mertajam oleh polis peronda namun suspek yang memandu Proton Waja berjaya meloloskan diri setelah melepaskan tembakan ke arah polis.

“Susulan itu, kami melancarkan gerakan memburu suspek dan berjaya mengesannya di sekitar daerah ini awal pagi tadi,” katanya pada sidang media, di Nibong Tebal.

Menurutnya suspek yang masih memandu Proton Waja sama kemudian bertindak memecut kenderaannya ke Jalan Tasek sebelum memasuki ladang kelapa sawit selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

Bagaimanapun kereta suspek hilang kawalan dan melanggar bongkah batu besar menyebabkan suspek keluar dari kereta itu dan melepaskan tembakan ke arah pasukan polis dalam usaha melarikan diri.

Bagi mempertahankan diri, pasukan polis membalas tembakan itu yang antaranya mengenai suspek menyebabkan dia maut di tempat kejadian, katanya.

Menurutnya pemeriksaan polis kemudian menemukan sepucuk pistol semi automatik jenis MZ, enam butir peluru dalam kelopak serta sebutir di dalam ruang peluru pistol berhampiran tubuh suspek.

Turut ditemukan satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah sementara kereta yang dipandu suspek didapati dicuri di Balik Pulau pada bulan lepas.

- Bernama

Lihat Komen