malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
‘Pemimpin Perancis akui kempen negatif EU ke atas sawit M'sia tak berasas’
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 11:10 AM
Dikemaskini: 3:10 AM
ADS

Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis mengakui bahawa kempen negatif Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak kelapa sawit Malaysia adalah tidak berasas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pandangan itu disuarakan ahli Parlimen dan pemimpin politik terbabit ketika mengadakan pertemuan dengan Dr Wan Azizah di sebuah hotel di Paris.

“Ahli Parlimen itu menyatakan bahawa mereka telah pergi ke Malaysia dan merasakan bahawa memang Malaysia mempunyai satu persekitaran yang baik (berkaitan industri kelapa sawit) dan mengakui bahawa kelapa sawit kita telah mendapat publisiti yang negatif.

“Mereka sendiri pernah ke Malaysia dan melihat sendiri dan mereka tahu bahawa kempen negatif ini memang tidak berasas dan mengakui bahawa kelapa sawit Malaysia bukan seperti yang didakwa sebagai ‘bad practice’,” katanya kepada Bernama dan RTM di Paris hari ini.

Dr Wan Azizah dalam rangka kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu dengan agenda utama bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.

Dr Wan Azizah berkata, dalam pertemuan itu ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis terbabit turut terkejut apabila dimaklumkan bahawa Malaysia masih mempunyai lebih 53 peratus keluasan hutan.

“Menerusi kempen negatif mengenai industri sawit Malaysia, mereka diberitahu hutan Malaysia telah berkurangan, tetapi sebenarnya kita ada lebih 53 peratus. Saya juga memberitahu mereka mengenai hidupan liar kita yang masih ada dan terpelihara seperti harimau Malaysia (Malayan tiger) dan orang hutan,” katanya.

Dua anggota Parlimen Perancis yang hadir dalam pertemuan dengan Dr Wan Azizah itu ialah anggota parti LaREM, Anne Genetet dan anggota parti UDI Meyer Habib. Mereka disertai tiga lagi pemimpin politik Perancis yang lain.

- Bernama

Lihat Komen