malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita warga AS maut disyaki dibunuh suami
Diterbitkan:  Mar 20, 2019 9:22 AM
Dikemaskini: 1:23 AM
ADS

Seorang wanita warga AS maut dipercayai dibunuh suaminya dalam satu kejadian di rumah keluarga mangsa di Island Glades, Jelutong, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata mangsa dikenali sebagai Chin Geok Heong, 60, dan lahir di Malaysia namun mendapat kerakyatan AS.

Katanya mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 4.20 pagi semalam.

"Berikutan itu, suami si mati berusia 62 tahun - juga lahir di Malaysia dan memiliki kerakyatan AS - ditahan di pekarangan Jabatan Forensik HPP pukul 5.45 petang bagi membantu siasatan kes," katanya di George Town malam tadi.

Kata Che Zaimani pasangan itu pulang ke Pulau Pinang pada 19 Jan lalu untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga mereka dan sepatutnya pulang ke AS hari ini.

Beliau berkata adik wanita itu terdengar pertengkaran di antara mangsa dan suaminya di dalam bilik tidur mereka kira-kira pukul 2.30 pagi, tadi diikuti dengan suara mangsa menjerit.

Katanya suami mangsa yang membuka pintu bilik selepas diketuk adik wanita itu berkata isterinya menjerit kerana tidak sihat.

Che Zaimani berkata adik mangsa yang tidak berpuas hati sekali lagi mengetuk pintu bilik kakaknya sebelum suami mangsa membuka dan dia mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri.

"Mereka membawa mangsa ke HPP dan doktor mengesahkan wanita itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan suami mangsa pada mulanya enggan membuat bedah siasat ke atas si mati namun keluarga meminta bedah siasat di jalankan.

"Bedah siasat oleh doktor mendapati mangsa mati disebabkan suffocation associated with coronary artery disease atau akibat lemas dan serangan jantung, " katanya.

Katanya siasatan awal polis mendapati suami mangsa dipercayai telah menekup muka si mati dengan kedua-dua tapak tangannya sehingga menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia.

Che Zaimani berkata pemeriksaan ke atas suspek mendapati terdapat kesan cakar pada kedua belah tangan lelaki itu dan dia mendakwa ia berlaku kerana mengangkat besi dan menumbuk karung tinju di gimnasium.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengetahui motif sebenar kejadian dan lelaki berkenaan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

- Bernama

Lihat Komen