malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Peminat tegar, pemain profesional 'tembak' pengkritik PUBG
ADS

Permainan menembak popular atas talian PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) kini menjadi pilihan anak muda.

Namun begitu, permainan ini dikaitkan dengan keganasan selepas isu serangan terhadap bersenjata sebuah masjid di New Zealand baru-baru ini.

Bagaimanapun, bagi penggemar permainan itu, tanggapan itu sebenarnya tidak mempunyai asas.

Bagi Muhammad Syazwan Shamsul Bahri, 24, seorang pemain tegar PUBG, keganasan tidak wajar disamakan dengan PUBG.

Muhammad Syazwan Shamsul Bahri

Katanya persamaan visual sudut pandang pemain dalam video itu tidak wajar disamakan dengan rakaman pengganas di New Zealand ketika membuat serangan.

“Namun begitu, persamaan video tidak bermakna kita akan terdorong kepada keganasan.

“Bagi saya setakat menilai kejadian ini bukanlah satu bukti kukuh menyatakan perkara ini (PUBG) beri kesan negatif kepada pemain.

“Ada banyak lagi pengaruh negatif di Malaysia tetapi tidak diberikan perhatian sepenuhnya oleh pihak bertanggungjawab,” jelasnya ketika dihubungi oleh Malaysiakini melalui Whatsapp.

Pada 15 Mac lalu, masjid di Christchurch, New Zealand menjadi mangsa serangan bersenjata sehingga meragut nyawa 50 penduduk Islam.

Penyerang berkenaan menyiarkan video secara langsung di Facebook Live, yang menyerupai paparan permainan video PUBG.

Ia mendorong perdebatan berkaitan pengaruh permainan itu. Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad antaranya berkata PUBG membawa pengaruh buruk.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman bagaimanapun menjelaskan tindakan ganas didorong oleh fahaman ektremisme dan bukannya permainan video.

'Dulu saya mat rempit'

Sementara itu, pemain e-sukan profesional Muhammad Faiz Hanifiah, 22, berkata isu keganasan tidak wajar dikaitkan dengan PUBG.

“Jika kejadian ini mahu kaitkan dengan game (permainan) PUBG bagi saya banyak lagi permainan seperti Rules of Survival dan Free Fire yang mempunyai struktur permainan sama,” katanya yang lebih dikenali sebagai King Ketom di alam maya.

Muhammad Faiz Hanifiah

Faiz mempertahankan permainan atas talian dapat mengawal individu daripada terjebak dengan kegiatan negatif di luar rumah.

“Dulu saya merupakan seorang mat rempit dan kini saya dan lebih fokus untuk menjadikan permainan atas talian ini sebagai satu karier,” kata Faiz.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dikongsi semua pihak.

Terdapat ibu bapa misalnya yang masih melihat permainan itu lebih banyak memberi kesan negatif berbanding positif.

“Isu ini harus diteliti dan dikawal oleh kerajaan agar kanak-kanak tidak terdorong kepada keganasan,” kata Mohammad Shariff Abdullah, 55.

Lihat Komen