malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pekerja lapangan terbang Subang kemalangan parah meninggal dunia
Diterbitkan:  Mar 19, 2019 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM
ADS

Seorang pekerja yang terlibat dalam kemalangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang semalam telah meninggal dunia petang tadi.

"Selepas dua hari berada di bawah unit pemerhatian rapi (ICU) mangsa Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39 tahun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 6.45 petang tadi meninggalkan isterinya, Nor Azawiah Md Usuf dan empat cahaya mata berumur dari 1 ke 13 tahun.

"Ruzaimi seorang kakitangan yang berdedikasi dan sangat komited terhadap pekerjaannya. Beliau terserlah di kalangan rakan sekerja dan pihak pengurusan sebagai seorang yang berbakat dengan etika kerja yang membanggakan. Pemergiannya merupakan kehilangan tragis buat Malaysia Airports," kata suatu kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) hari ini.

CEO MAHB Raja Azmi Raja Nazuddin berkata syarikat itu sedang menyampaikan bantuan kepada pihak keluarga dan menolong urusan pengekebumian jenazah.

"Keutamaan kami untuk memastikan keselesaan dan kebajikan keluarga dapat dijaga," katanya.

Ruzaimi ialah seorang pemandu kenderaan kejuruteraan di lapangan terbang. Allahyarham mengalami kecederaan parah selepas kenderaannya terlibat pelanggaran dengan sebuah pesawat persendirian di landasan, yang dilaporkan berlaku sekitar jam 3.20 pagi pada 18 Mac lalu.

Menurut MAHB siasatan sedang berjalan dan sedang bekerja sam arapat dengan Jabatan Penerbangan Awam bagi mengenal pasti puca kemalangan tersebut.

Kerja-kerja pembersihan serpihan di lapangan terbang akibat kemalangan itu menyebabkan beberapa penerbangan terjejas tetapi operasi penerbangan kembali pulih sekitar jam 9 pagi pada 18 Mac lalu.

Lihat Komen