malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
K’jaan cadang taman rekreasi, lot banglo di tapak Highland Tower
ADS

Tapak kondominium Highland Towers yang runtuh dan terbiar sejak 25 tahun lalu akan dibangunkan sebagai projek taman rekreasi serta kediaman jenis banglo, kata Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Katanya, pembinaan taman rekreasi itu nanti dijangka turut memberi manfaat kepada penduduk di kawasan sekitar.

“Saya diberitahu bahawa Jabatan Insolvensi Negara Malaysia dalam usaha untuk membuat penolakan tuntutan harta yang membebankan bagi beberapa unit di blok tersebut dan pengurusan kes diadakan pada 4 April ini.

“Jika, Jabatan Insolvensi Malaysia berjaya dalam penolakan tuntutan harta yang membebankan, maka kami akan hantar satu laporan kepada mahkamah untuk memutuskan bagi proses perobohan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Zuraida sebelum itu, mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bebas pembangunan semula Highland Tower.

Jawatankuasa itu dianggotai agensi kerajaan termasuk MPAJ, JKR, Jabatan Insolvensi Malaysia, PTG dan agensi lain yang secara tidak terlibat dengan pembangunan semula Highlands Tower.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut nyawa 48 orang.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, projek berkenaan bukan sesuatu yang berisiko tinggi.

“Ia akan turut memberi manfaat kepada penduduk sekitar. Nama Highland Towers akan dikekalkan kerana ia sejarah dan akan menarik perhatian pelancong untuk hadir.

“Berdasarkan perancangan syarikat pemaju yang juga merupakan pemilik tanah itu sekarang, kawasan tiga blok yang terjejas akan dibangunkan dengan projek taman rekreasi sementara tanah-tanah yang ada di sekitarnya akan dibina kira-kira 50 buat lot banglo,” katanya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memberitahu, laporan sepenuhnya mengenai aspek keadaan tanah, struktur bangunan dan undang-undang dalam pembangunan semula Highland Towers akan siap pada minggu pertama bulan Mei hadapan.

Lihat Komen