GLOBAL | Suspek pengganas yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand kini menerima ancaman daripada kumpulan bermotosikal Maori yang berang dengan tindakannya itu.
Salah seorang anggota kumpulan itu, Tanieli Fatu berkata suspek, Brenton Tarrant, kini menjadi 'tumpuan' mereka dan rakannya di dalam penjara boleh 'berkawan' dengannya.
“Biarpun kami sering dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral, namun kami menolak perbuatan atau kekejaman yang melangkaui batas seperti dilakukan Tarrant. Dia perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di dalam penjara nanti,” katanya menurut laporan Utusan yang memetik AFP.
Biarpun ringkas, amaran itu jelas dan wajar diberikan perhatian serius menurut ahli kriminologi dari Universiti Canterbury, Greg Newbold.
Beliau berkata majoriti dalam penjara bukan orang kulit putih dan Tarrant mungkin tidak dapat mencari pelampau kulit putih untuk menyokongnya.
"Saya berani kata dia akan berada dalam bahaya. Pasti ada orang dalam penjara yang marah tentang kejadian itu, lebih-lebih lagi dia merupakan supermacist berkulit putih,” katanya seperti dipetik NZ Herald semalam.
Jika Tarrant disabit bersalah, kata Newbold lagi, dia mungkin akan ditempatkan di kurungan bersendirian untuk satu tempoh yang amat panjang.
Pada masa ini, Tarrant yang kini ditahan reman ditempatkan dalam kurungan berasingan daripada tahanan lain.
Menurut laporan NZ Herald 17 Mac pula, seorang anggota gangster lain menyuarakan kemarahannya terhadap serangan itu ketika berkumpul di Christchurch untuk menawarkan sokongan kepada keluarga mangsa.
“Mereka (mangsa) datang ke New Zealand, mereka sebahagian daripada kita sekarang...Kami juga ada kawan (dalam penjara)," katanya.
Tarrant dilaporkan memecat peguamnya dan akan mewakili diri sendiri dalam perbicaraan di mahkamah.
Setakat ini, Tarrant berdepan satu tuduhan membunuh untuk serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood, namun dijangka berdepan banyak lagi tuduhan apabila dihadapkan semula ke mahakamah 5 April nanti.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri New Zealand Jacinta Ardern semalam mengumumkan undang-undang baru pemilikan senjata api dalam minggu ini.
“Dalam 10 hari serangan ganas ini, kami akan umumkan pindaan yang saya percaya, mampu menjadikan komuniti kita lebih selamat,” katanya selepas mesyuarat kabinet semalam seperti dilaporkan media.
Tambahnya lagi, satu inkuiri akan dijalankan bagi mengkaji adakah tragedi pada Jumaat lalu itu sepatutnya boleh dihalang lebih awal.