malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Nga gantung Noh 3 hari, MP BN dan PAS protes keluar dewan
ADS

PARLIMEN l Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menggantung Noh Omar (BN-Tanjung Karang) daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari.

Ia susulan pertikaian lidah mereka semalam, di mana Noh dikatakan menyifatkan Nga tidak layak menjadi timbalan yang dipertua.

Nga berkata keputusan itu diambil kerana kenyataan Noh itu adalah satu penghinaan kepada institusi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Tanjung Karang dengan jelas sengaja menghina majlis mesyuarat (sidang parlimen) atau tidak mengendahkan kuasa pengerusi, (serta) tohmahan yang pengerusi (speaker) tidak layak memegang jawatan itu... Ia adalah perbuatan menghina majlis atau penghinaan terbuka kepada pengerusi.

"Oleh yang demikian, berdasarkan kuasa kepada saya, saya memerintah Tanjung Karang keluar dari majlis mesyuarat bagi tempoh tiga hari, iaitu pada 19, 20 dan 21 Mac," katanya.

Semalam, Noh menyifatkan Nga tidak layak memegang jawatan itu susulan kenyataannya sebelum ini bahawa Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno dan PAS membentuk kerajaan.

Mohamed Said (BN-Kuala Krau) membantah keputusan itu dan berkata Noh tidak ada di Dewan Rakyat untuk mempertahankan dirinya.

Mohamed juga menggesa Nga untuk memberi peluang kepada Noh memberi penjelasan dan menarik balik kenyataannya. Nga bagaimanapun enggan berbuat demikian.

Ismail kemudian keluar dari Dewan Rakyat diikuti anggota parlimen BN dan PAS yang lain.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Anggota Parlimen Tanjung Karang Noh Omar tidak mengendahkan arahan keluar dari persidangan dewan yang diputuskan Timbalan Yang Dipetua Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

Timbalan Yang Dipetua Dewan Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan majlis mesyuarat ketika itu telah membacakan sekali lagi arahan tersebut selepas melihat Noh masih berada di dalam dewan, namun Noh bangun dan mempersoalkan hukuman tersebut.

Nga mengarahkan Noh keluar dari persidangan dewan itu selama tiga hari bermula hari ini di bawah Perkara 43 dan 44 Peraturan Mesyuarat berikutan tingkah laku Noh yang melemparkan tuduhan terhadap institusi Speaker serta mendakwanya tidak layak memegang jawatan itu pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Beberapa Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional termasuk Ahmad Maslan (Pontian) dan Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) mempertahankan tindakan Noh dengan memberi contoh kejadian yang sama berlaku apabila Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang enggan keluar apabila diarahkan pada sesi Parlimen ketika pemerintahan BN dahulu.

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pula bangun dengan menyebut Perkara 99 Peraturan Mesyuarat yang mengatakan Noh perlu akur kerana keputusan speaker adalah muktamad.

Noh bagaimanapun tetap berada di dalam dewan sehingga memaksa Mohd Rashid mengarahkan bentara menjalankan tugas membawanya keluar.

Bagaimanapun Noh masih tetap berdegil dan Mohd Rashid kemudian meminta semua anggota Parlimen supaya bertenang dan menghormati dewan dan membenarkan Noh untuk terus berada di dalam dewan sehingga tamat sesi pagi.

Keadaan itu menyebabkan beberapa anggota Parlimen PH termasuk Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), Chang Lih Kang (Tanjong Malim) dan RSN Rayer (Jelutong) membantah sebelum timbalan speaker itu mengumumkan persidangan sesi pagi ditangguhkan.

Ketika kekecohan itu berlangsung, Dewan Rakyat menerima kunjungan Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan Jin serta delegasinya.

Ketika persidangan bersambung pada sesi petang, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof membuat keputusan mengekalkan keputusan terdahulu selepas memberi peluang kepada Noh untuk mempertahankan diri.

“Saya dapati apa diungkapkan yang berhormat adalah jelas mencabar kedudukan seorang speaker. Ini menyalahi peraturan mesyuarat. Jadi saya akan kekalkan ruling yang dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua (Dewan Rakyat). Itu final saya tidak mahu dengar apa-apa lagi.

Ruling yang dibuat pagi tadi mesti dijalankan kalau tidak kewibawaan majlis ini akan terus dicabar...kesempatan telah saya berikan untuk membela diri dan saya putuskan sekarang, keputusan pagi tadi hendaklah terpakai,” katanya.

Mohd Arif kemudian menangguhkan sesi persidangan selama 15 minit.

Lihat Komen