Pengiklanan

    Hadi: Kalau PAS-Umno kahwin, jadi sumbang mahram

    (Dikemaskini )

    PAS dan Umno tidak boleh 'berkahwin' memandangkan kedua-dua parti itu sebenarnya adalah adik-beradik, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

    Beliau berkata jika 'perkahwinan' itu terjalin bermakna ia akan menjadi sumbang mahram.

    "Kita menyaksikan bagaimana parti-parti politik yang anti-Islam di Malaysia sangat bimbang dengan kesatuan PAS dengan Umno, mereka kata macam 'Taliban', belum lagi macam-macam istilah lain, ada yang mengatakan istilah PAS nak berkahwin dengan Umno.

    "Saya kata PAS tak boleh kahwin dengan Umno, adik-beradik nak kahwin macam mana? Kalau kahwin (juga) jadi sumbang mahram," katanya ketika berucap dalam program Wacana Islam dan Isu Semasa anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di Clubhouse Persatuan Alumni Universiti Malaya, di Kuala Lumpur, malam tadi.

    Istilah perkahwinan itu muncul selepas pemangku presiden Umno Mohamad Hasan berkias bahawa PAS dan Umno rasmi 'bersanding' selepas mesyuarat rasmi kerjasama kedua-dua parti di ibu pejabat Umno awal bulan ini.

    Mohamad juga mengibaratkan kerjasama PAS dan Umno dalam PRK Sungai Kandis sebagai proses merisik, sementara di PRK Seri Setia merupakan majlis bertunang.

    Isu dakwaan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga sekali lagi dibangkitkan apabila Abdul Hadi diminta mengulas berkenaan kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah bahawa parti itu telah menggagalkan usaha tersebut.

    Abdul Hadi berkata ia bukannya daripada PAS sebaliknya idea individu tertentu yang mahu merebut jawatan perdana menteri.

    “Yang nak buat undi tidak percaya ini, bukannya PAS tetapi kena tanya orang yang nak buat undi tak percaya inilah. Bukan kita, pihak lain yang buat undi tak percaya ini, kerana berlaku pertembungan nak bergilir jadi perdana menteri," katanya.

    Abdul Hadi berkata PAS akan meneliti perkembangan itu dari semasa ke semasa dan menilai pihak mana yang lebih "aslah (berpihak) kepada umat Islam".

    "Tak timbul siapa perdana menteri dan (dalam soal) undi tak percaya ini kita melihat perkembangan mutakhir siapa yang lebih aslah kepada umat Islam dan kemakmuran negara.

    "Itu yang kita pilih. Bila dan siapa tunggu masanya (tiba)," katanya lagi.

    'Bukan fanatik perkauman'

    Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata pemimpin Melayu-Islam akan menjadi pemegang kuasa politik terbesar jika mereka bersatu memandangkan mereka memegang 130 daripada 222 kerusi Parlimen.

    "Walaupun kerajaan (PH) sebegitu rupa, (kalau) dicampur semua kerusi Melayu-Islam - PH atau pembangkang - Islam masih majoriti. Orang Islam boleh menentukan politik jika mereka berusaha dengan baik.

    "Ini bukan bermakna kita fanatik perkauman tetapi memimpin negara mestilah orang Islam," katanya lagi.

    Abdul Hadi turut diminta mengulas kenyataan Ketua Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik semalam bahawa PAS dan Umno sebenarnya tidak pernah bermusuh tetapi terpisah akibat kekeliruan dan peranan pihak ketiga.

    Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan yang dibangkitkan wartawan KiniTV itu.

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih