Pengiklanan

    PH perlu tepati janji lantik pengerusi PAC dari pembangkang - Ismail

    (Dikemaskini )

    BN menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengotakan janji untuk melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari kalangan pembangkang selepas banyak janji yang ditaburkan gagal dilaksana.

    Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau kesal kerajaan PH terus mengekalkan Ronald Kiandee mengetuai PAC meskipun anggota parlimen Beluran itu kini menyertai Bersatu.

    "Walaupun banyak janji PH tidak ditepati, namun sekurang-kurangnya janji PAC ditepati selaras dengan janji kerajaan untuk mentransformasikan parlimen.

    "Oleh itu, saya menggesa perdana menteri agar mengkaji semula keputusan beliau untuk mengekalkan wakil parti kerajaan menjadi pengerusi PAC, lebih-lebih lagi apabila dua anggota parlimen parti kerajaan iaitu Nurul Izzah Anwar dan Hanna Yeoh telah membuat kenyataan supaya pengerusi PAC disandang oleh wakil pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Ronald tidak perlu meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun jawatan itu adalah untuk angota Parlimen pembangkang kerana ia tidak membabitkan dasar dalam kerajaan dan sebahagian daripada perlembagaan.

    Bagaimanapun Ronald berkata beliau hanya akan meletak jawatan jika diminta berbuat demikian oleh perdana menteri.

    Sebelum ini, pembangkang dilaporkan telah menamakan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad sebagai pengerusi PAC yang baru.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih