malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Senator Husam Musa merupakan antara pemimpin yang menggesa kerajaan supaya mengiktiraf ganja bagi tujuan perubatan, khususnya spesies hem.

Ketika ditanya sekiranya beliau pernah mencuba produk kesihatan berasaskan hem untuk tujuan perubatan, Husam menjawab:

"Saya pernah ada pati minyak hem.

"Hem ini mengaktifkan reseptor. Dalam badan kita ada beratus-ratus reseptor dan ada satu yang boleh dirangsang oleh kanabis.

"Jadi apabila kita ambil minyak hem reseptor itu akan diaktifkan dan ia adalah kejadian tuhan," katanya kepada Malaysiakini di Petaling Jaya semalam.

Terdahulu Husam merasmikan seminar tertutup mengenai perubatan hem anjuran Persatuan Perubatan Hemp Malaysia di Kuala Lumpur.

Beliau juga diberi taklimat oleh pakar mengenai manfaat hem untuk perubatan.

Persidangan itu menghimpunkan sejumlah pakar perubatan hem tempatan serta antarabangsa, termasuk dari Thailand, Belanda, Korea Selatan dan Indonesia.

Beza dua spesies

Kata Husam, sistem tubuh dan otak manusia memiliki reseptor endocanabinoid yang membolehkan seseorang mendapat ketenangan, tidur atau rehat.

Ia juga katanya menjadikan tubuh seseorang menerima bahan mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD) secara semula jadi.

Diminta penjelasan lanjut jika Husam memang pernah mencuba minyak hem, bekas exco kanan Kelantan itu berkata, beliau seorang yang percaya ada produk ganja boleh membantu dari segi kesihatan.

“Kenapa tidak? Saya percaya dengan apa yang saya pelajari.

“Ia adalah ekstrak minyak hem, bukan kanabis marijuana asli,” katanya kepada Malaysiakini.

Umumnya terdapat dua spesies tumbuhan ganja, iaitu Cannabis Sativa (yang dirujuk sebagai hem) dan Cannabis Indica (yang dirujuk sebagai marijuana).

Kedua-dua spesies mempunyai manfaat perubatan yang berbeza dengan bahan THC dan CBD.

Hem memiliki kandungan THC rendah, manakala marjuana pula mempunyai kadar THC yang tinggi.

Marijuana dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah kerana kandungan THC yang tinggi pada bunga tumbuhan betinanya sehingga dapat memberikan kesan khayal dan boleh digunakan untuk melegakan kesakitan penghidap barah, atau mengurangkan kesan sampingan rawatan kimoterapi.

Sementara itu, serat batang pokok hem pula merupakan bahan asas yang digunakan dalam lebih 25,000 bidang industri, termasuk kain, tali, kertas dan gentian.

Akta Dadah Berbahaya 1952 tidak membezakan dua spesis ganja hem dan marijuana ini.

Bermanfaat cergaskan minda

Husam turut menjelaskan hem (yang tinggi CBD) juga dibuat minyak bagi tujuan perubatan untuk penyakit sawan dan epilepsi.

"Mengikut kajian minyak hem berguna dalam rawatan sakit kanser, sawan, masalah saraf, ketegangan, bahkan jantung," katanya.

Hujung tahun lalu, Forbes melaporkan AS meluluskan penanaman, pengedaran dan penggunaan hem, manakala China pula merupakan pengeluar 50 peratus produk industri hem dunia.

Menurut Husam kegunaan minyak hem boleh memberi manfaat dalam beberapa aspek.

“Berdasarkan pada bacaan dan kajian saya sendiri mengenai sejarah kanabis, bahan ini sangat berguna untuk kecergasan minda, inspirasi intelektual dan kesihatan badan,” kata lagi.

Husam mencadangkan supaya kerajaan dan masyarakat lebih aktif mengkaji kegunaan hem dari segi perubatan dan memahami kegunaan bahan itu secara lebih adil.

Beliau berkata cadangannya supaya Malaysia memperkenalkan tanaman ganja kesihatan bagi tujuan perubatan akan dilihat sebagai langkah terkedepan jika berjaya direalisasikan.

Diperkenalkan oleh doktor

“Isu ini telah diputuskan oleh kabinet dua bulan lalu dan ini adalah satu langkah ke depan, walaupun langkah ini agak terlewat berbanding negara lain," katanya ketika berucap dalam seminar itu.

Beliau juga berharap kerajaan lebih terbuka menerima cadangan daripada pihak profesional mengenai penanaman ganja kesihatan di Malaysia.

“Sekiranya kerajaan telah berani membuat kajian, saya berharap kerajaan akan lebih terbuka untuk menerima input profesional dalam baja, bentuk perladangan serta kegunaan ganja kesihatan dari segi perubatan secara terkawal," katanya lagi.

Sementara itu, Husam juga mengakui telah menggunakan minyak hem bagi merawat penyakitnya pada 2015.

Menjawab pertanyaan wartawan jika setakat ini minyak hem boleh dikatakan mujarab atau sesuai dengan rawatan penyakit yang dihidapinya, Husam berkata: "Ya."

"Saya diperkenalkan dengan minyak hem oleh seorang doktor untuk rawatan saraf bagi masalah penyakit bell's palsy saya.

"Bell's palsy ialah kegagalan kawalan saraf muka kerana jangkitan pada saraf utama di belakang telinga.

"Caranya, satu titik minyak ini diletakkan di bawah lidah. Minyak itu tak ada rasa apa, pedas atau pahit... rasa minyak saja, tak ada rasa loya, tak ada rasa high, tak khayal," katanya.

Bagaimanapun, kata Husam harga minyak ekstrak hem itu agak mahal iaitu RM550 untuk 100ml kerana faktor kesulitan perundangan yang menyukarkan kelulusan bekalan dan penggunaan ubat berkenaan.

Baca Wawancara 2: Husam: Ganja disalah erti gara-gara fitnah silam

Lihat Komen