malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Penganjur gagal beri tempoh notis mencukupi, kata polis
ADS

Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata pihak penganjur himpunan Hari Wanita Sedunia gagal memberikan notis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh himpunan seperti yang ditetapkan.

Katanya, pihak penganjur tidak mengikut prosedur dan siasatan masih dijalankan.

"Mereka tidak memberikan notis dalam tempoh. Jadi disebabkan itu kita tak keluarkan kebenaran dan juga ia menyalahi.

“Sebab itu siasatan masih dijalankan," katanya pada sidang media selepas serah terima tugas timbalan ketua polis negara dan naib pengerusi Perkep Malaysia di Pulapol, Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim sebelum ini berkata kertas siasatan mengenai himpunan yang tidak mendapat kebenaran polis itu telah dibuka dan pihak yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada masa sama, Fuzi turut diminta mengulas mengenai kenyataan peguam Syahredzan Johan semalam, yang menggesa polis menghentikan siasatan terhadap penganjur himpunan itu.

"Daripada pihak kita (polis), kita terima lebih daripada 50 laporan polis dibuat dan siasatan terpaksa dijalankan.

"Tugas PDRM ketika ini untuk menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin dan diserahkan kepada DPP (timbalan pendakwa raya) untuk keputusan lanjut.

"Untuk nak kata jangan siasat dan sebagainya, itu bukan tanggungjawab mereka, itu tanggungjawab PDRM," katanya.

Bagaimanapun, pihak penganjur perhimpunan memaklumkan telah menghantar notis kepada pihak polis pada 25 Februari lalu.

Dalam kenyataannya, Syahredzan yang juga adalah setiausaha politik Lim Kit Siang menyifatkan siasatan polis sebagai tanpa waran, tidak perlu dan tindakan yang boleh melanggar hak penganjur himpunan itu. 

Sementara itu, Fuzi turut ditanya mengenai sama ada PDRM akan meminta bantuan dari Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki anak bongsu Indira Gandhi.

Katanya, PDRM setakat ini tidak meminta bantuan dari mana-mana pihak luar termasuk Interpol.

"Kalau ada lead (petunjuk) di negara tertentu, kita akan minta bantuan counterpart (rakan) kita termasuk ambil proses Interpol," katanya.

Tambahnya, ketiadaan sebarang petujuk menyukarkan tugas pihak polis untuk mengesan keberadaan Prasana Diksa yang berusia 11 tahun itu.

"Saya pun tak dapat pastikan sebab kalau kita buat semakan dengan pihak imigresen setakat ini, mereka tiada ke luar mana-mana negara.

"Tapi kita kena ingat untuk ke luar (negara) ini, boleh secara sah atau pun tidak sah," katanya.

Pada 13 Mac, Malaysiakini melaporkan Kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat) akan meminta bantuan pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melalui kedutaan Amerika Syarikat untuk mengesan Prasana.

Hampir 10 tahun berlalu sejak bekas suami Indira Gandi, Muhammad Riduan Abdullah membawa lari Prasana setelah menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan isterinya, ketika pada tahun 2009.

Riduan dan Indira kemudian terus menggunakan saluran undang-undang termasuk melibatkan kedua-dua mahkamah syariah dan sivil dalam rebutan itu.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan, tetapi hingga hari ini polis masih belum menemuinya.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama secara satu pihak adalah menyalahi undang-undang.

Lihat Komen