Polis menafikan terdapat individu yang ditahan berhubung kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata setakat ini sebanyak 51 laporan polis telah dibuat dan siasatan adalah mengikut Seksyen 278 dan 284.
"Setakat ini tiada tangkapan. Saya dimaklumkan oleh pihak ketua polis Johor sebentar tadi tapi siasatan sedang berjalan," katanya pada sidang media selepas serah terima tugas timbalan ketua polis negara dan naib pengerusi Perkep Malaysia di Pulapol, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai status tangkapan yang dibuat dalam pencemaran pembuangan sisa toksik itu.
"Itu kita tak sebut. Ada pihak lain yang sebut tapi pihak PDRM tiada tangkapan," katanya.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata pemilik syarikat tayar kitar semula adalah antara tiga suspek yang terlibat dalam pencemaran tersebut dan kertas siasatan telah siap serta dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.
Pada masa sama, Fuzi berkata beliau juga tidak dimaklumkan syarikat yang terlibat dalam pembuangan sisa bahan kimia yang dipercayai mula mengalir dari Sungai Klang itu, serta bilangan individu yang telah dipanggil untuk siasatan.
"Saya pun tak dimaklumkan syarikat mana sebenarnya yang terlibat. Tapi usaha untuk mengesan mereka yang bertanggungjawa ini sedang kita perhebatkan pada ketika ini dengan kerjasama lain-lain agensi kerajaan yang telribat, khususnya kementerian alam sekitar.
"Saya pun tak dimaklumkan jumlah berapa yang diambil kenyataan tapi siasatan sedang diperhebatkan," katanya.
Menurutnya, jenis bahan kimia yang mencemari Sungai Kim Kim itu masih tidak dapat disahkan, memandangkan jabatan bahan kimia masih membuat analisis.
Kes pencemaran bahan kimia yang berlarutan lebih dari seminggu itu menyaksikan jumlah kes baru meningkat apabila pelajar dan murid di beberapa sekolah di sekitar kawasan itu mendapatkan rawatan kerana mengalami sejak nafas, loya dan muntah.