Pengiklanan

    Pukul anjing dengan penyodok, kontraktor minta dibicarakan

    (Dikemaskini )

    Seorang kontraktor yang videonya tular memukul seekor anjing menggunakan penyodok pasir tahun lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebabkan penderitaan terhadap haiwan tersebut.

    Tang Hsu Maw, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

    Mengikut pertuduhan, Tang didakwa dengan kejamnya memukul anjing Rottweiler jantan berwarna hitam yang merupakan anjing peliharaannya mengggunakan penyodok itu di Taman Tayton View, Cheras, pada 9.30 malam, 18 Nov 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Terdahulu Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Hasiah Musa menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin kepada tertuduh.

    Bagaimanapun, peguam Muhammad Torik Abd Manaf yang mewakili OKS memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga iaitu dua anak dan ibu bapa warga emas.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 3 April untuk sebutan semula kes.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih