Pengiklanan

    Bekas jurugambar mengaku bersalah hina Hindu

    (Dikemaskini )

    Seorang bekas jurugambar syarikat produksi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menghina agama Hindu di laman sosial Facebooknya.

    Zamri Abdul Razak, 52, yang memakai seluar jeans biru dan kemeja-T hitam bertulis photographer di bahagian belakang bajunya membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

    Tertuduh yang kelihatan bersahaja hanya mengangguk ketika jurubahasa bertanyakan sama ada dia mengaku bersalah atau tidak atas kedua-dua pertuduhan itu.

    Mahkamah menetapkan 18 Mac untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu fakta kes disediakan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zamri didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook “Zamri Bin Abd Razak” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dua komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

    Kedua-dua pautan itu kemudian dibaca seorang pengguna Facebook “Saravana Kumar” di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di Kuala Lumpur, pada 12.45 tengah hari, 10 Mac 2019.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang wang jaminan bagi menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah selain kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan faktor banyak kes penghinaan terhadap agama berlaku kebelakangan ini.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan jaminan minima dengan alasan dia yang kini tidak bekerja, telah bercerai dengan isterinya, mempunyai tiga anak serta perlu menyara seorang bapa yang sudah tua dan uzur.

    - Bernama

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Laporan Berkaitan

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih