malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video ikan mati di Pasir Gudang sebenarnya palsu
ADS

Sebuah klip video tular yang menunjukkan ratusan ikan mati kononnya akibat pencemaran di Pasir Gudang kini disahkah palsu oleh Jabatan Perikanan.

Jurucakap jabatan itu memberitahu Malaysiakini, tiada insiden seperti digambarkan dalam video berkenaan berlaku di mana-mana kawasan dalam Pasir Gudang.

"Video itu palsu, dan tidak berlaku di Sungai Kim-Kim atau di (perkampungan) Kong Kong," kata jurucakap Jabatan Perikanan hari ini.

Ketua Jabatan Perikanan Daerah Johor Bahru, Pravin Selvaraja, juga berkata beliau menghubungi semua penternak ikan di kawasan Pasir Gudang apabila dimaklumkan mengenai 'insiden' tersebut.

Bagaimanapun katanya selepas disiasat, didapati tiada kejadian seperti dalam video tersebut berlaku di kawasan Pasir Gudang.

"Tak ada masalah ikan mati," kata Pravin.

Beliau juga berkata tiada kolam ternakan ikan di kawasan berhampiran dengan Sungai Kim Kim. Sebaliknya, kata Pravis, apa yan ada ketika ini hanya kolam ternakan udang.

Ekoran pencemaran yang berlaku sekarang, katanya, pengusaha kolam ternakan udang tersebut telah menghentikan aliran air Sungai Kim Kim ke tempatnya.

Sungai Kim Kim menjadi perhatian ramai sejak beberapa hari lalu ekoran pencemaran toksik dipercayai akibat pembuangan sisa kimia secara haram di situ.

Sehingga kini ratusan orang mendapatkan rawatan akibat terkesan dengan gas toksik.

Kerajaan juga mengarahkan semua sekolah di Pasir Gudang ditutup serta-merta sehingga keadaan benar-benar selamat.

Lihat Komen