malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PAS beri bukti kerjasama dengan Umno tak perlu ditakuti
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM
ADS

PAS tidak pernah bertindak zalim, kejam atau bersikap tidak adil kepada bukan Islam sejak awal penubuhannya, malah mengekalkan sikap berkenaan selama 29 tahun menjadi kerajaan Kelantan.

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kenyataan dua pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan Nga Kor Meng, terhadap kerjasama Umno dan PAS cukup bahaya kepada perpaduan kaum dan perlu disiasat.

"Semenjak 29 tahun perintah Kelantan, belum pernah PAS zalim dan tindas orang bukan Islam.

"Tidak pernah pula dihalau orang bukan Islam, malah salah satu patung Buddha terbesar di Asia Tenggara terletak di Kelantan.

"Begitu juga ketika PAS perintah Kedah termasuk juga Terengganu.Tiada langsung bukti PAS pernah berlaku sedemikian apatah lagi menghampiri cara Taliban. Semuanya fitnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Khalil yang juga Adun Batu Buruk itu kemudian membangkitkan persoalan, apa yang sudah dilakukan PAS kepada DAP sehingga parti terbabit menuduh kerjasama dijalin dengan Umno seumpama Taliban.

Lim yang juga menteri kewangan pada 6 Mac lalu menyifatkan kerjasama Umno dan PAS sebagai satu "mengisytiharkan perang" terhadap orang bukan Islam di negara ini.

Amanah, PKR pun kena

Bagaimanapun selepas kenyataan itu dilapor media, Lim membuat pembetulan beberapa jam kemudian dengan menukar istilah "mengisytiharkan perang" kepada "menyasarkan".

Ia susulan kecaman hebat daripada netizen dan pemimpin pembangkang.

Nga pula dilaporkan berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama Umno dan PAS berjaya membentuk kerajaan.

Sin Chew Daily memetik timbalan speaker Dewan Rakyat itu berkata, keadaan itu tidak boleh diperbetulkan dan akan memecah-belahkan rakyat dengan garis kaum dan agama.

Sementara itu Muhammad Khalil berkata, DAP sebenarnya hipokrit tetapi terpaksa menutup perangai mereka dengan menuduh PAS begitu.

"Apa yang DAP tidak pernah kata pada Dr Mahathir (Mohamad) dan Mukhriz Mahathir dulu?

"Begitu juga dengan pimpinan PAN (Amanah). Apa yang pimpinan PKR tidak pernah kata pada Mahahtir dulu, segala macam tuduhan dilempar termasuk menggelar Mahathir.

"PAS ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden MIC M Saravanan kerana sedar dan faham akan niat kerjasama PAS – Umno.

"PAS juga harap MCA juga begitu, usah takut dengan bayang DAP kerana mereka bukan mewakili kaum Cina.

"Sebelum pimpinan DAP secara sembrono menuduh kerjasama PAS dan Umno bukan-bukan, cabaran PAS masih lagi belum terjawab.

"Hingga saat ini Jawatankuasa Pusat DAP senyap sunyi, masih lagi tidak menyatakan sokongan penuh terhadap Mahathir sebagai perdana menteri," tambahnya lagi.

Lihat Komen