malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ketua Umno Perak dakwa MB masih cuba digulingkan
Diterbitkan:  Mar 15, 2019 11:56 AM
Dikemaskini: 3:56 AM
ADS

Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad, mendakwa kedudukan menteri besar di negeri itu masih tidak kukuh ekoran ada usaha berterusan untuk menjatuhkannya.

Kata Saarani usaha tersebut digerakkan oleh salah seorang anggota exco di bawah Ahmad Faizal Azumu sendiri.

Menurut Saarani, exco terbabit memujuk beberapa Adun BN dan mendakwa sudah mendapat restu daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Pujuk-memujuk masih berlaku dan ada lagi wakil rakyat lain yang ditemui exco berkenaan," katanya seperti dilaporkan Sinar Online hari ini.

Bagaimanapun Saarani tidak mendedahkan identiti pelobi terbabit atau Adun yang didakwanya didatangi exco berkenaan.

Untuk rekod DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Daripada jumlah itu 30 dikuasai PH manakala 25 lagi dimenangi oleh Umno. Seorang wakil rakyat Umno dari Tualang Sekah kini menjadi Adun bebas yang menyokong PH. Baki tiga lagi kerusi dimenangi PAS.

Ahmad Faizal ialah pengerusi PH dan wakil tunggal daripada Bersatu dalam DUN Perak sebelum Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharudin meninggalkan Umno.

Saarani berkata sebagai ketua pembangkang beliau mengetahui apa yang berlaku dalam kerajaan negeri dan mendakwa Adun di luar PH tidak termakan dengan 'pujukan exco' terbabit.

Beliau yang juga Adun Kota Tampan mendakwa pihaknya yakin semua Adun pembangkang akan setia dan tidak termakan ajakan tersebut.

Lihat Komen