Pengiklanan

    MB: Tindakan telah diambil tangani sisa kimia di Sg Klang

    (Dikemaskini )

    Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata tindakan segera telah diambil bagi menangani kejadian pembuangan sisa kimia di Sungai Klang berdekatan Taman Eng Ann di situ.

    Beliau berkata antara tindakan itu ialah melantik kontraktor untuk memulakan proses pembersihan dan ia dijangka mengambil masa dua hari.

    "Pasukan pegawai Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah ke tempat kejadian. Sampel kimia telah diambil dan dihantar ke makmal untuk siasatan lanjut. Difahamkan Luas juga telah memulakan proses membendung dan mitigasi pada pukul lapan malam semalam.

    "Saya juga telah meminta Unit Bencana Negeri Selangor untuk memantau keadaan semasa serta bekerjasama dengan Luas, Majlis Perbandaran Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk menyelesaikan kes ini," katanya dalam kenyataan.

    Amirudin Shari

    Semalam media melaporkan Luas menerima aduan berkenaan perkara itu pada pukul enam petang semalam.

    Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hashim Osman berkata bahan kimia dipercayai dibuang ke dalam longkang dan mula mengalir ke dalam Sungai Klang.

    Amirudin berkata lagi, Luas juga telah emmbuat laporan polis bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab terhadap pembuangan sisa kimia itu.

    "Saya menasihatkan semua penduduk sekitar Taman Eng Ann untuk bertenang dan tidak panik. Agensi kerajaan akan melaksanakan proses pembersihan secepat mungkin," katanya lagi.

    Isu pembuangan sisa toksik di sungai menjadi perhatian susulan pencemaran kimia di Pasir Gudang, Johor, yang menyebabkan hampir 2,000 orang perlu mendapatkan rawatan.

    Semua sekolah di Pasir Gudang telah diarahkan tutup dan terdapat gesaan agar kerajaan mengisytiharkan darurat bencana di sana.

    Namun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana keadaan masih terkawal, bagaimanapun menggesa pihak bertanggungjawab sentiasa bersedia untuk menyelesaikan masalah itu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih