Pengiklanan

    Bila Mat Hasan di depan


    (Dikemaskini )

    PULASAN | Terasa rindu pula kepada kelibat Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sejak bercuti, jarang-jarang beliau muncul dalam keadaan berprofil tinggi. Dalam tempoh sebulan dua ini, adalah sekali dua rindu kita terubat. Di Semenyih misalnya.

    Dalam keadaan begitu nampaknya apabila ada pilihan raya kecil (PRK), barulah susuk orang kuat Bagan Datuk itu muncul. Maknanya dalam bahasa basahan, ada PRK ada Ahmad Zahid.

    Tiada PRK, tiadalah kelibat Ahmad Zahid.

    Yang selalu ada: siapa lagi kalau bukan bossku!

    Justeru, untuk para perindu Ahmad Zahid, bertabahlah untuk seketika lagi. Dalam tempoh beberapa hari lagi akan menggelegaklah kempen PRK Rantau.

    Di sana akan bertarung pula orang yang sedang memikul tugas Ahmad Zahid untuk parti mereka. Beliau adalah orang nombor dua dalam Umno - siapa lagi kalau bukan Mohamad Hasan.

    Berketua bukan seorang waibi

    Untuk rekod, Rantau terletak dalam kawasan parlimen Rembau. Selain Rantau, ada dua lagi kawasan DUN di situ, iaitu Chembong dan Paroi.

    Daripada ketiga-tiga DUN itu sudah tentulah Rantau paling menonjol. Maklumlah, di situ pernah ada seorang tokoh diangkat menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

    Di situ juga sedang ada seorang tokoh yang mengepalai Umno walaupun - setakat ini, sekurang-kurangnya - beliau bukan lagi wakil rakyat.

    Rasanya belum pernah lagi Umno dikepalai oleh seseorang yang bukan 'waibi' sama ada di peringkat negeri atau parlimen. Tapi Mohamad sedang melakukannya.

     Seorang tokoh lain yang menjadi anggota parlimen dan mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti - malangnya - sedang bercuti.

    Memanglah agak kasar juga kalau dikatakan Ahmad Zahid sebenarnya dipaksa bercuti. Maka cuti Ahmad Zahid - bak kata Fauziah Latiff - "bukan kemahuan fikiran" beliau. Tapi mana mungkin seorang presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri merajuk.

    Buruk benarlah seorang presiden Umno menunjuk-nunjuk beliau sedang merajuk. Maka Ahmad Zahid - suka atau tidak - perlu memberitahu kepada dunia bahawa beliau sangat OK dan kekal tenang. Tenang beliau setenang pekan Bagan Datuk di waktu petang.

    Untuk kamu yang mungkin lupa, sebenarnya Umno - yang berdarah manis sekarang - sedang menikmati detik-detik bahagia hasil jasa panglima Bagan Datuk itulah.

    Ketika orang tercari-cari formula untuk membolehkan Umno bernafas dengan lega, Ahmad Zahid merintis jalan yang jarang-jarang orang lain terfikir. Di Pasir Salak itulah tempat bermulanya perkasihan sepasang parti yang luka hatinya dek terpisah oleh takdir sejak sekian lama.

    Seumpama Laila dan Majnun yang memeram dendam birahi, Umno dan PAS dipertautkan dengan begitu indah.

    Mata dikenyit, dada bergelora

    Memanglah ketika itu kedua-dua parti berkenaan terpaksa mengawal perasaan masing-masing. Malu, satu bab. Bimbang orang mengata, satu bab lagi.

    Yang lebih penting, jangan tunjuk gelojoh. Malu ke anak cucu!

    Dan akhirnya hati yang terpisah itu pun bersatulah. Mat Hasan itulah yang mengumumkannya. Tuan Ibrahim Tuan Man sekadar tersenyum simpul dan malu-malu.

    Malu, tapi dah lama mahu.

    Pedulilah kalau ada pemimpin PAS yang cuba menafikan kebenaran bahawa kedua-duanya sedang berbulan madu sekarang.

    Pedulilah kalau ada pemimpin PAS yang mendakwa sekarang ini Umno dan PAS baru mengenyit mata untuk menyatakan gelora hati yang sedang gigih dibendung. Sebab untuk mengatakan dua seteru sengit itu sedang berasmaradana di depan rakyat Pantai Timur yang pernah terdera selama puluhan tahun, bukanlah mudah.

    Buah berangan masaknya merah,

    Buah keranji dalam perahu,

    Luka di tangan nampak berdarah,

    Luka di hati rakyat di bawah yang tahu.

    Tapi biarlah. Apa yang penting kedua-duanya sudah ke pelamin. Deretan lukisan atau mural tentang kejadian-kejadian dilalui PAS - mengikut versi mata Umno - termasuk Memali, menjadi saksi.

    Ia dimeteraikan oleh Menara Dato Onn yang kini tidak lagi berkelip-kelip seperti sewaktu Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi setiausaha agungnya.

    Damailah hati. Kita orang Melayu. Dan orang Melayu mudah melupakan demi Melayu. Dan kembali kita kepada kisah Rantau.

    Rantau ialah kawasan Mat Hasan. Suara Mat Hasan dan rakyat Rantau pula dibawa seorang lagi salah satu tokoh paling berwibawa dalam sejarah Umno, iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Angguk dan benarkan

    Kalau kamu lupa, Khairy yang berwibawa itulah yang berkali-kali menyindir Ahmad Zahid kerana berpegangan tangan dengan PAS sebelum ini. Mat Hasan mungkin tidak segalak Khairy, tapi dapat dirasakan suara bekas ketua budak-budak muda Umno itu juga adalah kata hati beliau.

    Akhirnya Ahmad Zahid pun berundur. Ia memang lebih bermaruah melangkah ke belakang begitu berbanding lebih banyak suara - dan kerusi DUN atau parlimen - yang bercakap untuk pemimpin Umno.

    Kini Umno sedang menikmati kebahagian hasil titik keringat dan 'lamaran' Ahmad Zahid. Di sana ada watak-watak yang sedang menonjol sekarang. Mereka ke depan dalam langkah yang diuar-uarkan sebagai penyatuan bangsa.

    Parti yang selama ini menyanggah dengan lantang tentang perjuangan bangsa pun sudah menari rancak dengan Umno. Ada bermacam-macam hujah dikisahkan untuk mengabsahkan perkasihan itu.

    Untung saja perlembagaan parti masih berbeza. Cuma pentafsirannya yang dibuat tidak lagi sama. Tapi, pedulilah. Dalam banyak keadaan, anggota bawahan hanya akan mengangguk dan mengiyakan.

    Di celah-celah silat politik pemimpin parti masing-masing, ada Raja Troll yang tetap anggun dan licik di media sosial. Pedulilah gamangnya ketika berada di khalayak ramai. Pedulilah besarnya perbezaan di antara licik dan lihat beliau di media sosial dengan cemerkap di pentas ucapan.

    Dan di Bagan Datuk Ahmad Zahid kekal yakin kepada kasyaf ulama. Beliau pelan-pelan bermotosikal kapcai di bawah bayang-bayang pokok kelapa menuju akhirat di depan.

    Malu aper bosskurrr!


    AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang berasal dari kawasan kejiranan Bagan Datuk.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih