malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Permulaan politik saya di Subang, berkembang ke Kapar dan kini berterusan di Bagan Datuk. Namun saya menulis warkah ini atas kapasiti peribadi, sebagai rakyat biasa yang dahagakan kebahagiaan dan keharmonian antara satu sama lain di negara tercinta ini.

Sebelum itu, biar saya menyatakan dahulu pendirian saya berkenaan isu penghinaan dan perlekehan agama yang kian kencang kini.

Saya telah dididik oleh orang tua saya dengan fahaman agama Hindu dan kewajaran menghormati agama lain sejak kecil lagi. Hari ini, saya adalah warga Malaysia yang mendukung aspirasi Perlembagaan Persekutuan dengan menghormati agama Islam dan penganutnya, walaupun saya seorang penganut Hindu.

Kini, kita menyaksikan bagaimana kerajaan persekutuan melalui agensi seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat dan menangkap mereka yang menyebarkan mesej memperlekeh agama yang mampu membangkitkan emosi dan seterusnya menganggu keharmonian.

Saya ada membaca pelbagai mesej daripada orang Islam apabila seorang lelaki dihukum penjara sepuluh tahun kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad. Semalam mahkamah mengarahkan individu itu untuk menjalani pemantauan mental.

Sebelum ini saya juga membaca pelbagai mesej daripada orang beragama Hindu apabila ada berita mengatakan seorang yang menghina agama Hindu pula ditangkap.

Tangkapan dan hukuman sebegini adalah cara penyelesaian jangka masa pendek.

Bincang hal sensitif

Saya sedih dan terguris. Saya terguris kerana saya tahu hal ini bukan hanya melibatkan seorang dua saja. Segelintir yang ditangkap dan disabit dengan hukuman adalah kerana pihak berkuasa ada bukti tentang perlakuan mereka.

Jangan terkejut dengan hakikat bahawa ramai di luar sana masih tidak dapat mengerti bahawa setiap agama menyeru kita untuk menghormati agama lain.

Kita perlu tanya diri sendiri - apakah tangkapan dan hukuman sebegini akan mendidik mereka dan orang lain agar menghormati agama rakan-rakan kita? Pendek kata, apakah ia satu penyelesaian untuk jangka masa panjang?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajar membuktikan bahawa di bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kita menyediakan satu kerangka untuk mewujudkan masyarakat Madani (civilised society).

Ungkapan 'masyarakat Madani' pertama kali dibangkitkan oleh Anwar Ibrahim di Festival Istiqlal, Jakarta, Indonesia pada 1995. Seperti beliau, pergolakan politik 1998 menyebabkan konsep ini juga terpenjara sekian lama.

Masyarakat Madani membawa maksud masyarakat yang beradab dalam membangun, menjalani, dan memaknai kehidupannya. Jauh mendalam maksudnya tetapi saya hanya berhasrat untuk mengaitkan konsep masyarakat Madani dengan isu semasa iaitu penghinaan dan perlekehan terhadap agama.

Untuk menangani masalah perlekehan dan penghinaan agama, kita mesti melahirkan warga yang beradab. Kita wajar membicarakan soal agama sesama kita yang selama ini dianggap sebagai sensitif.

Perbincangan ini tentunya sukar di peringkat awal tetapi lama-kelamaan ia pasti menjadi hal yang boleh diterima setiap rakyat.

Membangun atau terjunam

Selain itu, sistem pendidikan wajar menekankan nilai agama terhadap penganutnya serta nilai menghormati agama lain. Setiap tahap pendidikan wajar diisi soal keinsanan, kemuliaan, tolak ansur, timbang rasa, bertolak ansur, dan sikap menghormati agama.

Pendidikan membina insan. Jika ia positif, membangunlah ia. Jika negatif, cetek terjunam akal fikirannya.

Kerajaan PH juga wajar menunjukkan teladan dengan mencantas agenda politik perkauman. Agenda ini sebenarnya untuk memuaskan nafsu tamak kuasa segelintir individu sahaja.

Sayang sekali, ramai penyokong segelintir individu ini yang terikut-ikut rentak mereka.

Tanggungjawab terletak pada bahu PH untuk menjelaskan pendekatan agama yang sebenar. Wujudkan undang-undang, bukan untuk menangkap orang biasa tetapi pemimpin yang berselindung di sebalik tabir agama untuk mewujudkan ketegangan di kalangan orang biasa.

Jangan kita binasakan negara hanya kerana agenda politik sempit dan cetek. Pemimpin silih berganti tetapi Malaysia tetap Malaysia.

Anuti agama sendiri, hormati agama lain. Ia tanda betapa kita menghormati dan memahami agama kita.


G MANIVANAN adalah bekas anggota parlimen Kapar.

Tulisan ini asalnya kenyataan media menteri tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen