malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Tunjuk bukti, saya sendiri akan ketuk kepala penjual AP
ADS

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Darell Leiking meminta ditunjukkan bukti penyalahgunaan permit import (AP) dan berjanji akan mengambil tindakan ke atas pihak yang didapati bersalah.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengamal media agar tidak mensensasikan isu berdasarkan dakwaan bahawa AP dijual kepada pihak ketiga tanpa mengesahkan dakwaan itu.

"Tunjukkan kami bukti dan saya akan pastikan bukan saja Miti, tapi saya sendiri akan ketuk kepala pihak yang menyalahgunakan AP.

"Tapi tolong, jangan jejaskan negara seperti ini (dengan melaporkan) 'oh ada dakwaan tentang ini' dan (anggap) ia betul.

"[...] Jika anda mempunyai bukti, apa kata tunjuk kepada saya nama pihak yang terlibat? Rakam mereka secara rahsia jika boleh, jika mereka menjual AP. Tolong saya.

"[...] Sudah tentu, ia boleh mendapat perharian di media (apabila) ada skandal, tapi kenapa tak tangkap mereka? Jangan reka cerita," katanya pada sidang media hari ini selepas diminta mengulas isu itu.

Miti dalam satu kenyataan sebelum ini mengesahkan telah mengeluarkan 164 AP. Daripada jumlah itu, 36 pemegang adalah syarikat baru.

Tangkap pihak jual AP

Miti juga menyatakan bahawa kebanyakan syarikat baru berkenaan belum beroperasi sepenuhnya meskipun syarat yang dikenakan kepada pemohon AP adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman dalam menjual dan mengedarkan kenderaan.

Diminta mengulas sama ada syarikat baru berkenaan memenuhi syarat itu, Darell berkata beliau "tidak maklum" kerana proses kelulusan dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

"Itu saya tidak maklum, itu melalui proses yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

"[...] Semua ini berlaku sebelum ini dan selepas kami mengambil alih kerajaan, mereka menasihatkan kami, kami meneliti dan meluluskan kerana mereka mengikut audit dalaman dan luaran profesional bagi memastikan pihak yang terlibat mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan," katanya, sambil mengulangi gesaan untuk ditunjukkan bukti.

"Kami mewarisi banyak benda, jadi (sekarang) kami mahu perbetulkan banyak benda," tambahnya.

Darell turut menegaskan bahawa AP bukan untuk dijual dan berjanji akan memburu pihak yang melanggar peraturan.

"Kami mahu dapatkan kebenaran, tangkap pihak yang menjual AP.

"Jika orang ini buat (jual AP), kita dedahkan siapa mereka. Kita dedahkan pengarah syarikatnya, kita dedahkan keluarganya.

"Kerajaan tidak pernah terfikir mereka akan jual (AP) kerana mereka seharusnya buat sesuatu dengan AP itu," katanya.

Di bawah dasar AP terbuka yang baru, sesebuah syarikat itu mestilah dimiliki bumiputera sepenuhnya dan mempunyai pengalaman berkaitan selain kewangan yang kukuh untuk menjalankan perniagaan mengimport kenderaan untuk dijual dalam negara.

Dasar berkenaan dilihat untuk menggalakkan perkembangan usahawan bumiputera.

[Baca berita asal]

Lihat Komen