malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pencemaran toksik: Sultan Johor mahu MB tubuhkan j'kuasa khas
ADS

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu Menteri Besar, Osman Sapian menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengenal pasti beberapa perkara dalam menangani isu pencemaran sisa kimia.

Menurut catatan terbaharu dalam laman Facebook Sultan Johor, baginda bertitah jawatankuasa itu perlu merangka satu prosedur operasi standard (SOP), supaya perlu dipatuhi oleh semua pihak kelak bagi memastikan kejadian pencemaran sisa kimia tidak lagi berulang di negeri ini.

Baginda bertitah, perkara lain yang perlu diutamakan juga adalah pembangunan sistem amaran awal sekiranya berlaku pencemaran udara mahupun air.

"Dengan adanya sistem berkenaan, sekiranya berlaku apa-apa pencemaran sama ada di udara atau air, maka pihak berkuasa dapat memberi amaran awal kepada penduduk.

"Pada masa sama, penduduk juga dapat membuat persiapan awal, manakala pasukan kecemasan atau pihak berkuasa dapat bergerak lebih awal," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini, dan kemudian dimuat naik dalam laman Facebook berkenaan.

RPO adalah pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan berangkat ke Hospital Sultan Ismail di sini, pada 12.30 tengah hari ini dan meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat mangsa pencemaran sisa kimia yang sedang mendapatkan rawatan.

- Bernama

Lihat Komen