malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Badan Peguam: Percepat RCI pulih keyakinan pelabur
ADS

WAWANCARA | Kerajaan mesti mempercepatkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan salah laku dalam badan kehakiman, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, George Varughese.

Menurutnya, ini bukan sahaja dapat memulihkan keyakinan orang ramai malah kepercayaan pelabur asing terhadap sistem perundangan di Malaysia.

Varughese berkata, dakwaan dalam afidavit hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mencalarkan reputasi badan kehakiman dan mesti ditangani.

"Semakin lama ia berpanjangan, makin lama ia tidak bagus untuk institusi ini. RCI mesti dimulakan secepat mungkin.

"Diharapkan mereka (kerajaan) menyiapkan proses (pembentukan RCI). (RCI) hadir dengan cadangan, dan kerajaan bertindak atas cadangan tersebut.

"Ini bukan hanya untuk (memulihkan) persepsi orang ramai (mengenai badan kehakiman) tetapi juga pelabur asing.

"Pelaburan asing tidak akan masuk (ke Malaysia) jika badan kehakiman diragui. Badan kehakiman yang kuat adalah penting untuk iklim pelaburan asing yang bertenaga,"katanya kepada Malaysiakini di Kuala Lumpur hari ini.

Hamid memfailkan afidavitnya pada 14 Feb bagi menyokong permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan bahawa ketua hakim negara gagal mempertahankan keutuhan dan kredibiliti badan kehakiman berhubung dua dakwaan insiden salah laku kehakiman.

Berikutan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa RCI akan dibentuk dan Pejabat Peguam Negara telah ditugaskan untuk merangka terma rujukannya.

Reformasi undang-undang perlahan

Sementara itu, Varughese juga meminta rakyat Malaysia bersabar mengenai reformasi undang-undang yang dilihat perlahan di bawah pentadbiran kerajaan baru.

Beliau menegaskan proses rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan  berkaitan memakan masa yang agak lama.

"Walaupun percubaan memansuhkan Akta Anti-Berita Palsu gagal di Dewan Rakyat (pada sidang parlimen tahun lalu), sidang sekarang akan menyaksikan (rang undang-undang) untuk menghapuskan hukuman mati membabitkan 11 kesalahan.

"Perkara-perkara ini mungkin tidak pada tahap yang ingin dilihat oleh orang ramai. Pada masa yang sama, kita harus sabar dengan kerajaan baru.

"Daripada pengalaman saya, ada lebih banyak rundingan yang dilakukan sekarang. Apabila kita mempunyai lebih banyak rundingan, proses itu mengambil masa yang lebih lama, "katanya.

Varughese berkata ramai menteri masih baru dalam memegang portfolio mereka dan oleh itu lebih banyak masa diperlukan.

"Berikan mereka peluang untuk mengkaji perkara itu dan rundingan yang bersesuaian. Dengan masa yang diberikan, saya yakin kita akan melihat pembaharuan. Terlalu awal untuk meramalkan apa perubahan yang akan berlaku.

"Sekiranya pembaharuan tidak berlaku dalam setahun, maka kerajaan perlu menyusun semula agenda reformasi untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Varughese berharap sebahagian daripada pembaharuan undang-undang yang dicadangkan termasuk menerima syor daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Beliau berkata pada masa ini, perdana menteri mempunyai kuasa untuk memveto syor JAC.

"PM boleh memainkan peranan tetapi harus (terhad). Sekiranya beliau menolak nama (yang disyorkan), beliau harus beri alasan, bukan hanya kerana beliau tidak menyukai orang (disyorkan) itu. 

"Selepas itu, beliau tidak boleh terus menolak nama yang dikemukakan oleh JAC, "katanya.

Varughese juga mencadangkan komposisi JAC diubah untuk melibatkan pihak berkepentingan lain seperti Badan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam dari Sabah dan Sarawak serta pertubuhan masyarakat sivil.

Beliau berkata ini akan memastikan input daripada spektrum yang luas dalam pemilihan calon JAC yang sesuai untuk mengisi jawatan hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Lihat Komen