Pengiklanan

    Polis siasat penganjur himpunan Hari Wanita

    (Dikemaskini )

    Pihak polis sedang menyiasat penganjur Himpunan Hari Wanita yang diadakan pada Sabtu lalu di Kuala Lumpur.

    Dalam satu kenyataan, penganjur berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.

    Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, penganjur berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

    "(Kami) akan mematuhi proses ini walaupun undang-undang ini tidak adil dan tidak seimbang untuk digunakan terhadap kami," kata mereka.

    Himpunan Hari Wanita Sedunia yang diadakan pada Sabtu lalu, antara lain menuntut pemansuhan perkahwinan bawah umur dan keganasan berasaskan jantina.

    Namun, tuntutan itu tenggelam dengan kehadiran beberapa individu daripada kumpulan pro Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

    Pihak polis dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin juga memaklumkan bahawa penganjur tidak mempunyai permit bagi menganjurkan perarakan.

    Penganjur berkata hari ini mereka bersikap terbuka dengan pihak polis sejak awal perhimpunan.

    Mereka sebelum ini turut menegaskan telahpun memaklumkan kepada polis seawal 10 hari sebelum himpunan iaitu pada 25 Feb, seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Awam.

    Sementara itu, penganjur juga mengkritik liputan media dan kenyataan politik yang menggambarkan perhimpunan itu sebagai "perhimpunan LGBT haram".

    "(Komen orang awam) mengakibatkan pelbagai bentuk serangan balas terhadap penganjur dan peserta.

    "Ini ditambah dengan liputan media berat sebelah dan laporan sensasi terhadap himpunan tersebut, telah menyumbang kepada suasana panik (moral panic) dan kesempatan politik yang mengabaikan lima tuntutan penting dalam himpunan tersebut," katanya.

    Lima tuntutan tersebut adalah menamatkan keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual, menghapuskan perkahwinan kanak-kanak, memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri, memastikan gaji minimum RM1,800 dan menghapuskan sikap patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.

    Penganjur berkata mereka masih komited dengan lima tuntutan tersebut yang sebahagiannya masih dipandang sepi oleh kerajaan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih