Pengiklanan

    Tiada pengisytiharan darurat di Pasir Gudang


    (Dikemaskini )

    PARLIMEN | Kerajaan tidak akan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang di Johor susulan pencemaran kimia yang menyaksikan lebih 900 terkesan.

    Perkara itu diputuskan selepas perbahasan usul tergempar berkenaan perkara itu yang dibawa Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim.

    "Setakat ini kerajaan negeri masih mampu mengendalikan situasi (di sana)," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin ketika perbahasan usul itu.

    Gesaan itu susulan pencemaran kimia akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim di sana minggu lalu yang menyebabkan lebih 1,000 orang perlu mendapatkan rawatan.

    "Bagaimanapun di peringkat persekutuan, walaupun kita tak isytihar emergency (darurat) tetapi (kerajaan) kerja (untuk tangani masalah itu) macam emergency," kata timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam soal undang-undang itu lagi.

    Ketika ditemui selepas perbahasan, Hanipa berkata pengisytiharan darurat hanya boleh dibuat menerusi permintaan kerajaan negeri.

    "Seperti syarat-syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), permintaan darurat bencana harus dari kerajaan negeri, buat masa sekarang tiada lagi permintaan itu.

    Beliau turut menafikan mesyuarat kabinet esok akan memutuskan sama ada darurat akan diisytiharkan sebaliknya untuk membincangkan kes pencemaran itu.

    Beliau juga memaklumkan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM8 juta untuk usaha pembersihan segera Sungai Kim Kim.

    Terdahulu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis memberitahu Dewan Rakyat bahawan kementeriannya telah memobilisasi sumber daripada negeri lain untuk memeriksa semua 254 kilang dalam Pasir Gudang dalam masa tiga hari.

    Katanya, enam kumpulan yang terdiri daripada 29 pegawai daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor kini sedang membuat pemeriksaan itu dengan bantuan pegawai dari negeri lain.

    "Polis juga telah buat sekatan jalan raya di sana untuk hentikan pergerakan sisa haram," katanya, sambil menambah ujian persampelan air juga sedang dijalankan di tiga tapak pelupusan haram di Sungai Kim Kim.

    Menteri lain yang turut berbahas termasuk Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

    Wakil pembangkang pula adalah Ahmad Maslan (BN-Pontian) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menangguhkan sidang tanpa mengadakan undian untuk usul tergempar itu, yang dibahaskan kira-kira sejam.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih