malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq sahkan dah 2 minggu Imam bekerja di KBS
ADS

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengesahkan seorang bekas penghuni Sekolah Henry Gurney telah memulakan tugas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak dua minggu lalu.

Menurut Syed Saddiq, remaja berkenaan yang dikenali sebagai Imam bertugas di kementerian itu di bawah Program Reben Kuning.

“Dah mula. Dah dua minggu. Saya dah bagi banyak tugas pada dia.

“[....] Namanya saudara Imam, dia bekas penghuni Sekolah Henry Gurney. Saya pergi buat lawatan kerja ke sana pun dia ada bersama,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan resolusi dalam Persidangan Meja Bulat 'Penglibatan Belia Dalam Sektor Korporat' di Cheras petang tadi.

Memuji Imam sebagai seorang yang bijak dan berwawasan, Syed Saddiq menjelaskan bahawa masyarakat perlu mengubah stigma terhadap individu yang pernah melakukan kesilapan dengan memberikan mereka peluang kedua.

“[...] Ini belia berisiko. Tak guna jadi menteri belia tapi hanya mewakili mereka yang sudah berjaya dan berkerjaya (sahaja),” katanya lagi.

Tambah Syed Saddiq lagi, selain Imam, terdapat dua lagi bekas banduan yang akan diterima bertugas di KBS dalam masa terdekat.

“Kita anggarkan dalam bulan ini. Kita tengah tunggu pelepasan (approval) terakhir daripada Jabatan Penjara untuk mengambil mereka bekerja,” katanya.

Projek Reben Kuning merupakan program dilancarkan KBS tahun lalu, bagi mengembalikan kumpulan belia berisiko ke dalam hidup bermasyarakat di samping membina kehidupan baru melalui pekerjaan yang ditawarkan.

Langkah berkenaan dikatakan diambil bagi mengubah persepsi negatif terhadap bekas banduan.

Rancang masa depan negara

Mengulas lanjut, Syed Saddiq menegaskan pengambilan tiga individu terbabit bukan sekadar mengisi kekosongan tanpa berbuat apa-apa.

“Boleh tanya sesiapa sahaja (dalam kementerian), kami betul-betul memperkasakan (empower) mereka.

“Ada projek harus mereka kendalikan, ada susulan dan kaji selidik (harus dilakukan), supaya bila tamat tempoh bekerja di KBS, mereka boleh buktikan yang mereka telah memainkan peranan dalam merancang masa depan negara walaupun mereka dikenali sebagai bekas penghuni,” katanya.

Ditanya tentang tempoh lantikan saudara Imam yang kini sudah bertugas di KBS, Syed Saddiq berkata dia berharap ‘selama yang mungkin’.

“Itu nanti (kena) bincang dengan dialah. Kalau boleh, saya nak sepanjang (selama) yang mungkin,” jelasnya lagi. 

Lihat Komen