malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelajar Pasir Gudang boleh ambil keputusan SPM guna 3 cara
ADS

Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi daerah Pasir Gudang yang terjejas akibat bencana pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, boleh memperoleh keputusan peperiksaan mereka menerusi tiga kaedah.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Azman Adnan berkata kaedah pertama ialah dengan melakukan semakan secara dalam talian melalui laman sesawang Lembaga Peperiksaan iaitu sppat.moe.gov.my/semakan.

Katanya, keputusan juga boleh didapati dengan membuat semakan menggunakan khidmat mySMS 15888 iaitu dengan menaip SPM Nombor kad pengenalan (KP), Angka Giliran dan hantar SMS ke nombor 15888.

“Perkhidmatan tersebut akan diaktifkan bermula 10 pagi, hari ini sehingga 6 petang pada 20 Mac,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata para pelajar juga boleh hadir ke kaunter penyerahan slip SPM sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dan SK Kota Puteri 4 di Jalan Penaga, Bandar Baru Kota Puteri, Pasing Gudang mulai 10 pagi ini untuk tujuan yang sama.

Sebarang pertanyaan lanjut, para pelajar boleh menghubungi talian khas SPM 2018 Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang melalui nombor 07-3883433 dan 07-3860773 dan Jabatan Pendidikan Johor di talian 07-2310041.

Semalam, berdasarkan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup serta-merta semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang.

Penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

-Bernama

Lihat Komen