malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Shafee: Anjing saya bukan punca kes SRC ditangguhkan
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 10:08 PM
Dikemaskini: 2:08 PM
ADS

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri Najib Razak bagi kes berhubung SRC International menyalahkan Pejabat Peguam Negara berhubung penangguhan kes itu.

Dalam tulisannya kepada Malaysiakini, Shafee mendakwa, tindakan Pejabat Peguam Negara membangkitkan perkara baru ketika tarikh perbicaraan terlalu hampir adalah "dalang" yang menyebabkan perbicaraan itu ditangguhkan.

"Hanya orang yang pekak dan buta yang tidak dapat melihat dan mendengar bahawa Pejabat Peguam Negara yang menangguhkan perbicaraan ini dengan membangkitkan perkara baru ketika perbicaraan hendak dimulakan," katanya di hujung tulisan itu.

Tulisan itu hadir selepas semalam Mahkamah Rayuan menangguhkan perbicaraan kes berkenaan ke Jumaat ini susulan kecederaan tangan Shafee.

Shafee turut memperincikan kejadian apabila anjingnya menyebabkan tangannya tercedera, selain usahanya mendapatkan rawatan untuk tidak membiarkan kecederaan pada tangannya itu mengganggu persiapannya untuk hadir ke mahkamah.

Kata Shafee, perbicaraan kes SRC ditetapkan untuk diadakan dari 12 Feb hingga 29 Mac.

Namun, tambahnya, Peguam Negara Tommy Thomas pada saat akhir memutuskan untuk menambah tiga lagi dakwaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Perolehan Akta Aktiviti yang Menyalahi Undang-Undang 2001 (Amla) ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 28 Jan lalu.

"Penambahan tiga dakwaan itu tak sampai dua minggu sebelum perbicaraan tanpa memberikan kami notis awal, terutamanya apabila ia akan mempengaruhi dinamik, komponen dan program perbicaraan.

"Seorang AG yang budiman akan memberikan kami notis awal agar kami dapat memberi pendapat jika tiga dakwaan terbaru itu boleh dibicarakan bersama tujuh dakwaan SRC lain pada 28 Jan.

"Jika dia memberikan kami notis awal kami tidak perlu meminta masa untuk mempertimbangkan cadangan oleh pendakwa raya pada 28 Jan itu," katanya.

Kata Shafee, hakim kemudian menangguhkan kes ke 7 Feb kerana "berita mengejut" yang dibawa oleh AG itu.

"Dan seperti biasa, kami membuat persiapan untuk pemfailan pada 7 Feb meskipun Tahun Baru Cina, selain perlu membuat persiapan untuk perbicaraan utama yang akan diadakan pada 12 Feb.

"Tapi, selepas itu, AG sendiri hadir pada 7 Feb dan memberikan kami satu lagi berita mengejut untuk dipertimbangkan.

"AG kata, bagi tidak menyusahkan mahkamah dari memutuskan berhubung sama ada mahu menggabungkan dakwaan terbaru, AG menarik semula tiga dakwaan baru itu," katanya sambil mempersoalkan kenapa AG tidak memaklumkan lebih awal agar pihaknya tidak perlu membuang masa membuat persiapan berhubung dakwaan baru itu.

Selain itu, Shafee turut mempertikai tindakan AG meminta kepada mahkamah agar kes SRC dibawa ke Mahkamah Sesyen yang akan diputuskan dalam rayuan Jumaat ini.

"Jumaat ini juga mahkamah akan memutuskan sama ada hakim boleh menolak tindakan AG memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen terlebih dahulu (seperti yang dicadangkan oleh AG sendiri) dan membawanya kembali ke mahkamah yang sama.

"Untuk membiarkan keputusan seperti ini akan membawa kesan yang serius. Keputusan ini bukan sahaja terpakai kepada Najib tetapi juga semua orang yang berurusan dengan sistem keadilan jenayah di Malaysia. Ini adalah isu-isu serius yang perlu ditangani Mahkamah Rayuan.

"Ini tidak pernah berlaku sebelum ini di negara kita atau di Komanwel. Isu besar untuk diputuskan Mahkamah Rayuan sama ada sesuatu perbicaraan itu jika diteruskan boleh diisytiharkan sebagai pembatalan dan anak guam saya boleh menjadi mangsa perbicaraan semula.

"Jadi bukankah itu akan menangguhkan lagi kes ini dan setiap pihak yang bersangkutan jika perbicaraan semula terpaksa dilakukan?

"[...]Sekarang beritahu saya, siapa yang menyebabkan penangguhan itu?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen