malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ingat mahu minta bantuan FBI kesan anak Indira Gandhi
ADS

Kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat) akan meminta bantuan pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melalui kedutaan AS untuk mengesan Prasana Diksa, 11, yang merupakan anak bongsu Indra Gandhi.

Menurut Arun Dorasamy yang mengetuai Ingat, pihaknya akan mengadakan mesyuarat di kedutaan AS di Malaysia pada 19 Mac ini selepas kecewa dengan tindakan daripada pihak polis Malaysia.

"Kami akan memberikan segala dokumen mengenai kes Prasana yang dikumpulkan selama ini kepada FBI melalui Kedutaan AS di ibu negara pada 19 Mac ini.

"Kami harap, AS akan menangani kes ini selepas kami klasifikasikan kes ini sebagai human trafficking (pemerdagangan manusia)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tidak dihubungi polis

Ingat merupakan kumpulan yang ditubuhkan khas dalam usaha mencari  Prasana yang dipercayai disembunyikan oleh bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah.

Muhammad Riduan meninggalkan rumah bersama Prasana pada 2009, ketika anaknya itu berusia 11 bulan.

Arun juga berkata pihaknya semakin hilang kepercayaan dengan cara polis mengedalikan kes berkenaan.

"Walaupun kami memberitahu polis bahawa mempunyai petunjuk baru dalam kes ini, sehingga hari ini pihak polis langsung tidak menghubungi kami.

"Maka, kami terpaksa mengambil langkah sendiri dengan pihak FBI," katanya sambil menambah Ingat turut menghubungi pihak berkuasa Thailand selepas Riduan dipercayai bersembunyi di Selatan Thailand.

Ingat juga menawarkan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat mengenai bekas suami Indira.

Dua adik beradik Prasana kini tinggal dengan Indira, namun lokasi Riduan dan Prasana masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Lihat Komen