malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis: Rakyat M'sia sertai IS boleh pulang jika setuju masuk pemulihan
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 6:40 PM
Dikemaskini: 10:44 AM
ADS

Rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas di luar negara akan dibenarkan pulang ke tanag air sekiranya mereka bersetuju untuk menjalani sebulan program pemulihan yang dijalankan kerajaan, kata polis.

Al Jazeera memetik Pengarah Anti Pengganas, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai berkata bahawa individu yang terlibat juga perlu mematuhi pemeriksaan dan penguatkuasaan yang dikenakan ke atas mereka apabila mereka tiba di tanah air.

"Tidak semua akan ditahan, tapi semua yang pulang akan disoal siasat.

"Kita akan membuat pemeriksaan dan penyiasatan setiap individu yang pulang. Kita akan bawa kerani dan pakar psikologi untuk menilai ideologi dan psikologi mereka.

"Kita akan bandingkan dengan maklumat risikan yang kita terima dari agensi luar. Jika terdapat bukti individu yang pulang itu terlibat dengan aktiviti militan IS, dia akan didakwa di mahkamah," katanya seperti dilapor.

Perkembangan itu hadir ketika negara luar termasuk Britain dan AS, melucutkan atau cuba melucutkan kewarganegaraan bekas militan IS dan keluarga mereka, untuk menghalang mereka daripada kembali ke tanah air.

Britain baru-baru ini melucutkan kewarganegaraan tiga wanita yang menyertai Daesh di Syria, termasuk remaja kelahiran London, Shamima Begum, yang kesnya dilapor media secara meluas.

Sementara itu, pihak berkuasa AS, mengegaskan bahawa rakyat negara mereka, Hoda Muthana yang meninggalkan Britain pada 2014 untuk mengahwini seorang militan IS, tidak akan dibenarkan kembali ke negaranya.

Keluarga pemuda berumur 24 tahun itu yang kini tinggal di kem pelarian, menyaman kerajaan AS, dalam usaha membawa Hoda Muthana pulang.

Militan IS kini berdepan kekalahan di bekas kubu kuatnya di Iraq dan Syria, di tangan tentera Syrian Democratic Forces (SDF) yang mendapat bantuan AS - yang seterusnya memaksa militan IS dan keluarga mereka cuba kembali ke tanah air masing-masing.

Menurut Al Jazeera, sekurang-kurangnya 102 rakyat Malaysia dikenal pasti meninggalkan negara untuk menyertai IS. Daripada jumlah itu, 40 terbunuh ketika pertempuran di Iraq dan Syria, sembilan daripada mereka merupakan pengebom berani mati.

Sementara itu, menurut Ayob, 11 rakyat Malaysia sudah pulang ke tanah air, dengan lapan daripada mereka didakwa di mahkamah, Tiga yang lain terdiri daripada seorang wanita dan dua kanak-kanak berumur 3 dan lima tahun.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen