malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ketum tak dimasuk dalam Akta Dadah Berbahaya - Menteri kesihatan
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 5:35 PM
Dikemaskini: 9:37 AM
ADS

PARLIMEN | Tumbuhan ketum tidak akan dimasukkan ke dalam senarai Akta Dadah Berbahaya 1952, maklum Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

"Pada masa kini, kerajaan tidak berhasrat untuk menyenaraikan ketum atau alkaloidnya ke dalam Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan yang diajukan Menteri Besar Kedah dan Anggota Parlimen Merbok Mukhriz Mahathir yang bertanya bagaimana tanaman ketum ini dapat dikawal bagi mengelakkan penyalahgunaannya dan adakah kerajaan akan meminda undang-undang berkait ketum untuk disenaraikan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Dr Dzulkefly berkata kementerian kesihatan sedang dalam proses meminda Akta Racun 1952 bagi mengawal penanaman, pemilikan dan pengedaran ketum.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses meminda Akta 366 bagi merangkumi kawalan ke atas tumbuhan psikoaktif seperti pokok ketum.

"Pindaan ini akan memperuntukkan larangan ke atas aktiviti perladangan, penanaman, pengimportan, pengeksportan, pembekalan, penjualan dan pemilikan tumbuhan psikoaktif seperti pokok ketum.

"Larangan berkaitan pengambilan ketum juga akan diperuntukkan untuk mengekang penyalahgunaannya.

"Peruntukan hukuman yang lebih deteren bagi kesalahan-kesalahan berkaitan ketum juga akan diperuntukkan," jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Dzulkefly penanaman ketum boleh dipertimbang bagi tujuan penyelidikan dan perubatan.

"Peruntukan kawalan ke atas penanaman ketum yang dicadangkan bukanlah bersifat larangan mutlak.

"Penanaman boleh dipertimbangkan untuk tujuan tertentu seperti tujuan penyelidikan dan perubatan.

Elak salah guna

"Peraturan-peraturan berkaitan penanaman ketum akan diwujudkan bagi memastikan terdapat kawalan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaannya," katanya lagi.

Pada April 2015, pentadbiran BN pernah membentangkan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2014) untuk menyenaraikan daun ketum dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya yang turut menyenaraikan tanaman lain seperti pokok kanabis, popi dan koka.

Timbalan menteri kesihatan ketika itu Dr Hilmi Yahaya telah membentangkan pindaan tersebut bagi bacaan kali kedua di parlimen.

Bagaimanapun, laporan Bernama pada November 2015 menyatakan pembentangan itu ditarik balik kerana terdapat bantahan terhadap cadangan takrifan penyalahgunaannya kerana dikhuatiri boleh berlaku penganiayaan kepada penduduk kampung, yang menanam dan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan dan kesihatan diri.

Timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu, Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata kerajaan memerlukan masa untuk menyediakan takrifan perundangan baru bagi daun ketum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen