malaysiakini logo
story-image
ADS

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat hukuman penjara 10 tahun 10 bulan yang dikenakan mahkamah terhadap pesalah yang menghina Nabi Muhammad SAW baru-baru ini perlu dipersetujui.

"Kalau tanya saya, saya memang kata setuju. Sebab itu satu amaran yang tegas kepada semua pihak.

"Kalau kita menunjukkan sikap linear seolah-olah kita menggalakkan orang untuk buat main-main dengan perkara ini. Baik kita bagi sekali gus, sekurang-kurangnya orang berfikirlah," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas perkara itu ketika ditanya mengenai desakan beberapa pihak supaya hukuman tersebut perlu disemak semula.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata, menurut ajaran Islam hukuman bagi kesalahan hina nabi melibatkan hukaman mati.

"Kalau ikut hukuman sebenarnya (dalam Islam) orang yang hina nabi ini adalah hukuman mati.

"Itu kalau kita ambil hukuman paling tegas dalam agama. Tak kira nabi mana sekalipun sebab nabi ini manusia yang mulia.

"Dan agama tidak boleh dihina, walaupun kita tidak setuju, kita tidak hina agama orang lain. Kena hormati agama dan kepercayaan masing-masing," tegasnya.

Peringatan kepada semua

Gesaan pemimpin PAS ini menepati tuntutan yang dibuat anggota pertubuhan kontroversi Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) supaya hukuman mati mandatori harus dikenakan ke atas mereka yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pada 11 Mac lalu, anggota HTM, Abdul Hakim Othman berkata hukuman sedemikian bukan sahaja akan dapat menghentikan segala tindakan menghina nabi malah sekali gus menjadi peringatan kepada semua pihak yang cuba menyentuh sensitiviti agama di negara ini.


BacaHina Islam: Hukuman perlu dengan belas, untuk mendidik - mufti


HTM merupakan pertubuhan yang difatwakan jabatan agama Islam beberapa negeri sebagai menyeleweng menurut pandangan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam pada Mei 2017 membatalkan permohonan HTM untuk menyemak kembali fatwa yang mengisytiharkan kumpulan itu haram dan menyeleweng daripada Islam.

Mahkamah Sesyen Kuching pada 9 Mac lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan kepada Alister Cogia, 22, yang mengaku bersalah atas sepuluh pertuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad di Facebook.

Pemeriksaan mental

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun pada 11 Mac lalu, Adun Batu Lintang See Chee How dan sekumpulan peguam memohon mahkamah supaya hukuman itu disemak semula.

Dalam perkembangan itu, Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengarahkan Alister untuk menjalani pemeriksaan mental dan akan dipantau di Hospital Sentosa Kuching selama sebulan. 

Menurut The Star Online hari ini, Hakim Azahari Kamal Ramli mengeluarkan arahan itu selepas mendengar permohonan semakan yang difail pasukan peguam diketuai Adun Batu Lintang See Chee How pada 12 Mac lalu.

Pendengaran akan bersambung semula pada 16 April, selepas pemantauan tamat.

Lihat Komen